Trump umum AS putus hubungan dengan WHO


Presiden AS Donald Trump mulanya menggantung dana kepada WHO bulan lepas dan menuduh organisasi yang beribu pejabat di Geneva itu menjadi 'boneka' China. – Gambar AFP, 30 Mei, 2020.

PRESIDEN Donald Trump semalam umum Amerika Syarikat (AS) secara rasmi memutuskan hubungan dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) susulan organisasi itu gagal menangani penularan Covid-19.

Trump mulanya menggantung dana kepada WHO bulan lepas, atas dakwaan salah urus pandemik yang meragut ratusan nyawa di seluruh dunia.

Kemudian, sepuluh hari lalu Trump menuduh organisasi yang beribu pejabat di Geneva itu menjadi “boneka” China. Trump juga berkata AS akan membekukan terus dana jika tiada “penambahbaikan substantif” dibuat untuk menangani pandemik Covid-19 dalam tempoh 30 hari.

“Kerana mereka gagal melaksanakan apa yang dituntut dan amat memerlukan pembaharuan. Hari ini (Jumaat) kita akan putuskan hubungan dengan WHO,” katanya kepada pemberita.

Presiden itu berkata dana yang sepatutnya disalurkan kepada WHO sebaiknya akan digunakan untuk keperluan kesihatan global lain.

“Dunia mahukan jawapan dari China tentang virus ini. Kita mesti telus,” tambah Trump.

Beijing tegas menafikan tuduhan Trump bahawa China lambat memberi amaran ketika virus Covid-19 mula dikesan di Wuhan pada Disember lalu.

Menurut Beijing, Washington cuba melepaskan tanggungjawab kepada WHO dan enggan mengakui lambat bertindak untuk mengekang wabak di AS.

AS merupakan penyumbang dana terbesar WHO, dengan sekurang-kurangnya AS$400 juta disalurkan tahun lalu. – AFP, 30 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen