VIRUS Covid-19 meragut 362,028 nyawa di seluruh dunia sejak ia mula dikesan di China pada Disember tahun lalu, menurut sumber rasmi yang diperolehi AFP semalam.
Sekurang-kurangnya 5,862,890 kes dilaporkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah itu, seramai 2,420,600 pesakit pulih daripada jangkitan.
Data yang diperolehi AFP dari pihak berkuasa negara-negara dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mungkin hanya sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar.
Ini kerana kebanyakan negara hanya menjalankan ujian kes atas kes yang paling serius.
Amerika Syarikat (AS) paling teruk terjejas akibat Covid-19 di mana 1,731,035 kes dengan 102,201 kematian disahkan setakat semalam. Sekurang-kurangnya 399,991 orang pulih di negara itu.
Ini diikuti Britain yang sehingga kini mengesahkan 271,222 kes dengan 38,161 kematian, Itali (33,229 kematian daripada 232,248 kes), Perancis (28,714 kematian daripada 186,797 kes) dan Sepanyol (27,121 kematian daripada 238,564 kes).
China - tidak termasuk Hong Kong dan Macau - setakat ini melaporkan 4,634 kematian dan 82,995 kes. Seramai 78,291 pesakit pulih.
Eropah secara keseluruhan merekod 176,776 kematian daripada 2,114,912 kes, AS dan Kanada 109,230 kematian daripada 1,820,421 kes; Amerika Latin dan Caribbean 47,318 kematian daripada 891,506 kes; Asia 15,438 kematian daripada 509,891 kes; Timur Tengah 9,258 kematian daripada 385,490 kes; Afrika 3,876 kematian daripada 132,146 kes; dan Oceania 132 kematian daripada 8,533 kes. – AFP, 30 Mei, 2020.
Komen