Pelajar dibuang sekolah boleh merayu untuk bersekolah semula


Amin Iskandar

Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan saluran rayuan bersekolah semula kepada ibu bapa murid yang dibuang sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau terus ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2017.

PELAJAR-pelajar yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin boleh merayu untuk bersekolah semula, kata Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid hari ini.

Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan saluran rayuan bersekolah semula kepada ibu bapa murid yang dibuang sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau terus ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Terdapat juga pihak sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengambil inisiatif membuat lawatan ke rumah murid yang telah dibuang sekolah untuk memujuk ibu bapa supaya membuat rayuan bersekolah semula,” kata ahli Parlimen Padang Terap itu di Dewan Rakyat menjawab soalan Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi).

Ehsanuddin bertanyakan apakah inisiatif yang dilakukan kementerian pendidikan untuk membantu pelajar-pelajar dibuang sekolah.

“Pihak JPN dan PPD akan memastikan murid yang membuat rayuan bersekolah semula akan ditempatkan semula, sama ada di sekolah yang sama atau sekolah yang lain”. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen