PENDUDUK Sarawak mempersoalkan kebolehlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perayaan menjelang sambutan Hari Gawai pada 1 Jun.
SOP dikeluarkan kerajaan untuk Hari Raya dan Gawai menetapkan beberapa syarat sambutan antaranya had 20 orang tetamu sahaja pada hari pertama, mengharamkan rumah terbuka dan himpunan besar-besaran.
Disebabkan negara masih dalam perang melawan Covid-19, ramai yang bersederhana dalam sambutan perayaan dan tidak mengadakan upacara yang memerlukan kontak rapat dan khalayak yang ramai.
Tetapi, orang Dayak seperti Francis Teron masih pesimis terhadap kebolehlaksanaan SOP itu.
“Jika tetamu nombor 21 datang, saya tak boleh halau dia hanya kerana menteri kata hanya 20 orang dibenarkan,” kata peguam yang tinggal di Kampung Stenggang di KM17 Jalan Bau-Lundu.
Teron berkata isterinya masih melakukan persiapan untuk Hari Gawai tetapi sambutan hanya dibuat pada skala kecil sahaja.
“Kami tidaklah buat rumah terbuka tetapi kami akan ajak beberapa kawan rapat, saudara mara dan ahli keluarga.”
Terdapat beberapa orang kawan rapat dan ahli keluarga yang berinteraksi dengan Teron sekeluarga sepanjang perintah kawalan pergerakan berlaku, dan kerana itu, beliau merasakan tidak ada sebab mengikut SOP Gawai sepenuhnya seperti jumlah maksimum tetamu yang boleh diterima.
“Kami tak sakit. Lagipun, siapa yang akan datang periksa dan kuatkuasakan peraturan?”
Anchon Raoh dari Rumah Panjang Sebangki Panjai di Lubok Antu juga antara orang Dayak yang akan meraikan Hari Gawai dengan skala lebih kecil tahun ini.
Katanya, perbelanjaan sambutan Gawai akan banyak berkurangan kerana anak-anak, menantu dan cucunya tidak akan pulang kerana sekatan perjalanan rentas negeri.
Tetapi, tradisi menerima tetamu ketika Gawai akan diteruskan, kata Anchon, menambah yang beliau akan menerima sesiapa sahaja yang datang ke “bilek” nya di rumah panjang itu.
“Hanya ada kami,” katanya yang berusia 58 tahun itu merujuk kepada dirinya, suami dan seorang cucu berusia tiga tahun yang dijaganya.
Bagaimanapun, jika jiran atau saudara datang melawat, beliau berjanji mereka akan dilayan dengan penuh meriah.
Beliau juga menjangkakan tetamu akan ramai datang kerana rumah panjang didiaminya mempunyai 50 “bilek”.
Rumah panjang adalah binaan tradisional dibahagikan kepada bilik untuk setiap keluarga. Ada rumah panjang yang dihuni lebih seratus keluarga.
Koridor panjang dan luas di luar “bilek” adalah ruang bersama dikenali sebagai “ruai” di mana keluarga berkumpul untuk aktiviti komuniti.
Disebabkan binaan itu, ada SOP mengekang wabak Covid-19 tidak dapat diterima oleh penghuni rumah panjang seperti seorang penghuni rumah panjang di Lubok Antu.
Beliau yang tidak enggan dikenali bertanya sekiranya beliau berkunjung dari “bilek-ke-bilek” tetapi dalam rumah panjang yang sama adakah ia dianggap melakukan lawatan rumah.
“Bila saya keluar dari bilek saya ke ruai, saya secara teknikalnya masih dalam rumah saya.
“Jadi pergi dari bilek ke bilek lain seperti bilik ke bilik dalam rumah yang sama.
“Itu bukannya lawatan rumah ke rumah dan saya tak fikir SOP Gawai terpakai.
“Lainlah kalau pergi ke rumah panjang lain, itu baru SOP terpakai,” katanya. – 30 Mei, 2020.
Komen