FESTIVAL menuai padi atau perayaan Gawai suram bagi kaum Dayak di Sarawak tahun ini kerana Covid-19 menghalang beberapa ritual yang melibatkan kontak rapat dan himpunan besar diadakan.
Gawai, yang jatuh pada 1 Jun setiap tahun, kebiasaannya akan menyaksikan kaum Iban menyambut kedatangan “semangat baik” yang menemani pengunjung ke rumah panjang mereka dengan menawarkan minuman selamat datang - semuanya daripada gelas yang sama.
Upacara ini, yang dikenal sebagai “ngalu petara” di Betong, sekarang dilarang keras sama sekali.
Tetamu rumah panjang mesti minum dari segelas air tuak yang sama atau sebarang minuman sebagaimana tuan rumah, semasa mereka bergerak dari satu “bilek” (unit) ke “bilek” yang lain.
Ini adalah tradisi lama untuk menunjukkan kepada pelawat yang minuman ditawarkan tidak beracun.
Namun, dengan Covid-19 yang tersebar melalui titisan individu dijangkiti dari hidung atau mulut, ia tidak membolehkan semua orang minum daripada gelas yang dikongsi bersama.
Kedua, hanya sedikit pelawat dijangka tahun ini disebabkan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang tidak menggalakkan dan mengehadkan “ngabang” (melawat).
Satu lagi ritual perayaan yang penting, “miring”, yang biasanya diadakan pada tengah malam sebelum sambutan hari Gawai, juga tidak boleh dilakukan.
Miring yang melibatkan penyembelihan seekor ayam jantan dan memercikkan darahnya, kadang-kala digantikan dengan acara berdoa bergantung kepada agama anutan individu yang menyambutnya.
Bagi James Joshua, penduduk rumah panjang Ulu Krian di Pakan, ini adalah “norma baharu Gawai” dan realiti yang harus dilalui kaum Dayak, sekurang-kurangnya untuk tahun ini.
“Anda bahkan tidak boleh berjabat tangan untuk saling mengucapkan selamat menyambut perayaan,” keluhnya.
Joshua berkata setiap keluarga di rumah panjangnya sudah diberitahu yang mereka hanya boleh mengadakan acara minum tengah malam di bilek masing-masing dan bukan di “ruai” (kawasan umum) seperti yang selalu mereka lakukan pada masa lalu.
Di rumah panjang Sebangki Panjai di Lubok Antu, inilah saatnya setiap tahun bagi jawatankuasa sambutan Gawai memuktamadkan program perayaan mereka.
Tahun ini, tidak ada jawatankuasa seperti itu.
“Kami tidak pasti sama ada akan mengadakan upacara miring atau ritual tengah malam,” kata penduduk Doris Melia.
Gawai bagi penduduk di Sebangki Panjai biasanya merupakan acara tiga hari yang penuh dengan aktiviti sosial dan sambutan yang termasuk pertandingan nyanyian karaoke, minum bir, pakaian beragam bagi penghuni rumah panjang dan sukaneka pada pagi hari Gawai.
Larangan perhimpunan besar dan perjalanan merentas daerah bermaksud mereka yang tinggal di bandar seperti Miri, Bintulu, Sibu atau Kuching tidak dapat pulang ke kampung.
“Tiada yang pulang. Tidak akan ada cukup orang untuk mengambil bahagian dalam acara itu walaupun ia diadakan,” kata Melia.
“Ia pelik. Ini bukan Gawai. “
Gawai, katanya, biasanya menjadi saat penduduk yang tinggal di tempat lain kembali ke rumah panjang mereka untuk berhubung kembali dengan saudara-mara yang mereka sudah lama tidak berjumpa atau bahkan belum pernah bertemu sama sekali, seperti penambahan baru ahli keluarga. – 30 Mei, 2020.
Komen