PESALAH trafik yang gagal membayar saman bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan dihadapkan ke mahkamah mulai awal 2018, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Ab Aziz Kaprawi.
Aziz berkata, tindakan itu akan diambil untuk semua saman yang dikeluarkan mulai 1 Mei 2017.
“Kementerian pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas AWAS untuk hadir ke mahkamah dan pihak kementerian bercadang untuk memulakan pendakwaan kes AWAS mulai tahun 2018.
“Sekarang ini jumlah kompaun adalah sebanyak RM150 tetapi apabila di mahkamah, jumlah tersebut akan dinaikkan yang mana minimum jumlah denda adalah RM300,” katanya.
Aziz menjawab soalan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanyakan bilakah tarikh sebenar penerima saman AES yang belum membayar saman dibawa ke mahkamah.
Aziz berkata, untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April tahun ini, tindakan masih ditangguhkan.
Katanya, setakat ini sebanyak 2.7 juta saman AES direkodkan. – 28 November, 2017.
Komen