MAJIKAN perlu memastikan pekerja asing mereka menjalani saringan Covid-19 kerana hampir 78% kes dikesan sejak 4 Mei lalu melibatkan pekerja warga asing, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Sejak 4 Mei sehingga 29 Mei, kami mendapati hampir 78% kes positif yang kita ada melibatkan pekerja asing,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
“Jadi kami nasihatkan majikan buat saringan. Baik mereka buat saringan,” tambahnya.
Jelasnya lagi, kediaman pekerja yang sempit dan sesak menyumbang kepada penyebaran Covid-19.
“Kita tak tumpu mana-mana sektor. Kita tengok penginapan. Jika mereka tangani (isu) penginapan pekerja asing, kemudian kita boleh fikir cara selesaikan masalah itu,” katanya.
“Bukan hanya (cegah penularan) Covid-19 tetapi penyakit berjangkit lain juga, sama ada TB (batuk kering) atau penyakit lain,” tambahnya.
Persekitaran tempat tinggal yang buruk dalam tempat sempit juga menjadi faktor utama dalam kluster melibatkan pekerja asing.
Katanya, mustahak untuk memastikan kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard seperti penjarakan sosial antara pekerja asing.
Dr Noor Hisham juga mendedahkan yang tahap kepatuhan dalam kalangan rakyat Malaysia agak tinggi kerana penurunan kes melibatkan warganegara.
“Orang Malaysia mungkin mengamalkan penjarakan sosial dan semua SOP tetapi persoalannya sekarang, adakah pekerja asing mengamalkan semua SOP atau tidak,” katanya.
“Saya fikir kita perlu mendidik pekerja asing untuk mengamalkan SOP juga dan memastikan penjarakan sosial, basuh tangan, pakai topeng muka…ini semua penting.”
Tambahnya, warganegara dan bukan warganegara perlu diambil kira dalam usaha pencegahan Covid-19 kerana “kesihatan melibatkan semua orang.” – 29 Mei, 2020.
Komen