Jangkitan baharu Covid-19 melonjak 103 kes


Ragananthini Vethasalam

Daripada 84 kes melibatkan warga asing yang dilaporkan, 53 berkaitan dengan kilang di Pedas, Negeri Sembilan sementara 24 lagi dari kluster baharu daripada syarikat pembersih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

KES Covid-19 di Malaysia melonjak menjadi tiga digit dengan pertambahan 103 kes baharu, selepas mencapai tahap terendah sebanyak 10 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Lonjakan kes baharu hari ini disebabkan oleh kes yang melibatkan warga asing,” katanya kepada wartawan pada sidang media harian kementerian mengenai situasi Covid-19 negara pada hari ini.

Katanya, daripada 84 kes melibatkan warga asing yang dilaporkan, 53 berkaitan dengan kilang di Pedas, Negeri Sembilan sementara 24 lagi dari kluster baharu daripada syarikat pembersih.

Noor Hisham berkata, tujuh daripada jangkitan baharu diimport sementara kes tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia berjumlah 12.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah jangkitan negara kepada 7,732 sementara kes yang aktif adalah 1,382.

Katanya, 66 orang telah pulih dan keluar dari hospital sehingga tengah hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan kepada 6,235.

Tiada kematian dilaporkan, menjadikan angka kematian kekal sebanyak 115 orang.

Lapan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan dua orang diletakkan di bawah sokongan pernafasan. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen