PELAN pemulihan ekonomi jangka pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat ini akan meneruskan kerjasama antara kerajaan dan swasta bagi memastikan pelaksanaannya yang lebih lancar dan teratur.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata semua kementerian sudah bertemu dengan pihak berkepentingan bagi melihat kemungkinan dan maklum balas untuk membolehkan kerajaan membuat keputusan yang relevan bagi membantu pelbagai sektor.
“Pakej rangsangan bantuan prihatin yang diumumkan sebelum ini yang sebahagiannya mempunyai tempoh tamat tiga dan enam bulan, akan tamat tempoh dalam jangka terdekat.
“Manakala pelan pemulihan yang bakal diumumkan akan melihat setengah pakej disambung dan beberapa inisiatif baharu diperkenalkan untuk memperkasa ekonomi.
”Apa yang penting adalah kita perlu tangkas dan dinamik kerana masa sangat pantas berlalu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke ibu pejabat Bank Simpanan Nasional, di Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Zafrul berkata pakej rangsangan prihatin diperkenalkan bertujuan untuk membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan mikro yang terjejas akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Susulan daripada pelaksanaan PKP itu, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada 0.7% pada suku pertama dan dijangka terus turun ke angka negatif pada suku kedua.
Menurutnya, dengan kebanyakan perniagaan dan industri kini memulakan semula operasi beliau berharap KDNK pada suku ketiga dan keempat akan bertambah baik, namun ia bergantung kepada sepantas mana Malaysia boleh mengawal penularan pandemik itu dan juga manfaat daripada insentif kerajaan dan bank.
“Secepat mana ekonomi kita boleh pulih semula akan bergantung kepada sepantas mana kita menangani Covid-19. Terdapat keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian. Kita membukakan ekonomi secara berperingkat dan dengan cara itu, kita memastikan kehidupan rakyat dilindungi terlebih dahulu.
“Daripada kaji selidik selepas pembukaan ekonomi secara berperingkat pada 4 Mei, seramai 6 juta pekerja kembali bekerja selepas seminggu dan meningkat kepada 10.2 juta seminggu kemudiannya yang merupakan 67% daripada jumlah 15 juta pekerja Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata terdapat empat isu utama dihadapi perniagaan yang perlu ditangani bagi membolehkan mereka kembali berada di landasan iaitu masalah membayar gaji pekerja, aliran tunai bagi memulakan semula perniagaan, kadar sewa tinggi berbanding pendapatan rendah dan permintaan rendah terhadap produk dan perkhidmatan selepas perniagaan dibuka semula.
Selain itu, katanya, keyakinan pengguna juga perlu dipulihkan selepas PKP bagi membantu meningkatkan perbelanjaan dan permintaan.
“Dari segi psikologinya, orang ramai masih takut untuk keluar selepas PKP. Diharapkan dengan standard prosedur baik yang digariskan kerajaan dipatuhi oleh perniagaan yang akan memberikan keyakinan kepada pelanggan.
“Masalah permintaan benar-benar berlaku kerana ia menjejaskan pertumbuhan negara yang mana 60% daripada pertumbuhan kita adalah daripada penggunaan swasta,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat beberapa trend positif semasa PKP iaitu peningkatan mendadak penggunaan platform e-dagang iaitu sebanyak 80% dan daripada jumlah itu 40% adalah pengguna baharu.
Justeru katanya, sudah sampai masanya bagi perniagaan untuk menguasai dan menimbang menggunakan platform tersebut. – Bernama, 29 Mei, 2020.
Komen