CALON pelajar universiti yang perlu menjalani temuduga secara bersemuka boleh melakukannya secara dalam talian atau menghantar video yang dirakam ke universiti berkenaan, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu memberitahu media tiada sesiapa dibenarkan rentas negeri walaupun untuk menghadiri temuduga sambil menambah perjalanan rentas negeri hanya untuk kes kecemasan.
“Kami tidak membenarkan perjalanan rentas negeri walaupun untuk temuduga tetapi mereka boleh melakukannya secara dalam talian. Sebenarnya pelajar sudah diminta melakukan temuduga secara dalam talian sejak April.”
“Bagi kawasan yang tidak mempunyai sambungan internet yang baik, mereka boleh merakam video dan kemudian menghantarnya kepada pihak universiti,” kata Ismail Sabri.
Minggu lalu, Ismail Sabri juga berkata mereka yang perlu menghadiri temuduga kerja atau juruaudit tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri kerana mereka bukan sebahagian daripada perkhidmatan penting.
“Perjalanan antara negara tidak diizinkan bagi juruaudit untuk memeriksa akaun syarikat kerana ia bukan sebahagian daripada perkhidmatan kecemasan.”
“Tidak perlu juga melakukan temuduga secara berdepan. Mereka boleh Skype, sidang video dan lain-lain,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.
Sebelum ini, Ismail berkata mereka yang mempunyai kes kecemasan seperti menghadiri pengkebumian boleh memohon perjalanan rentas negeri di balai polis terdekat. – 29 Mei, 2020.
Komen