SEJUMLAH 433 kompaun dikenakan ke atas individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri semalam, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri juga berkata 434 kenderaan turut diarahkan berpatah balik selepas didapati cuba merentas negeri.
“Polis mengeluarkan 433 kompaun terhadap mereka yang cuba menziarah rakan dan saudara masa selepas hari pertama Aidilfitri.
“Manakala 434 kenderaan didapati cuba merentas sempadan negeri dan mereka diarahkan berpatah balik,” katanya pada sidang media harian hari ini.
Kerajaan sebelum ini menetapkan Hari Raya Aidilfitrti hanya boleh disambut pada hari pertama sahaja.
Sementara itu, Kedah merekodkan jumlah tertinggi kenderaan yang cuba merentas negeri diikuti Negeri Sembilan dan Melaka, menggantikan Selangor yang berada di tangga teratas sejak beberapa hari lalu.
“Kedah merekodkan 87 kes, Negeri Sembilan 83 dan Melaka 59,” dedah Ismail.
Semalam, Ismail Sabri berkata Selangor merekodkan jumlah tertinggi kenderaan yang cuba merentas negeri, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka.
“Pada Rabu, sebanyak 842 kenderaan diperiksa dan diarah berpatah balik. Mereka cuba balik kampung untuk menyambut Hari Raya.
“Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 514, Negeri Sembilan (54) dan Melaka (51),” katanya pada Khamis.– 29 Mei, 2020.
Komen