Pemuda Umno Pahang cadang anak Najib tanding DUN Chini


Mohd Farhan Darwis

Anak bekas perdana menteri Najib Razak, Mohd Nizar Najib menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan dalam pemilihan parti pada pertengahan 2018.– Gambar Youtube, 29 Mei, 2020.

ANAK bekas perdana menteri Najib Razak wajar dipertimbangkan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, kata ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Farid Mohd Nor.

Mohd Nizar Najib, 42, layak untuk diangkat sebagai calon memandangkan beliau juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, katanya.

Nizar memenangi jawatan itu tanpa pertandingan dalam pemilihan Umno pada pertengahan 2018.

“Kalau boleh kita mahukan orang muda sebagai calon.

“Jika difikirkan sesuai oleh pucuk pimpinan, serta menepati kehendak majoriti pengundi di sana, Pemuda Umno Pahang memang mahukan orang muda yang berada dalam kepimpinan Pemuda Umno dan Bahagian Pekan diberi pertimbangan sebagai calon.

“Tetapi kita tetap akan menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan pengerusi perhubungan Umno negeri (Wan Rosdy Wan Ismail),” kata Mohd Farid, kepada The Malaysian Insight.

Selain Nizar, Pemuda Umno Pahang juga mempunyai beberapa calon lain yang berkelayakan untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan, tambah beliau.

“Tetapi apa pun keputusan ditentukan pucuk pimpinan,” katanya.

Mohd Farid berkata, jentera Pemuda Umno Pahang juga sudah bersiap sedia menghadapi PRK DUN Chini dalam suasana baharu memandangkan ia akan berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tugas kita seperti biasa… poster, bendera dan terbaharu keselamatan. Kita perlu sesuaikan dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dari segi penerangan, isu semasa kita dah kumpul semua input daripada 28  ketua pemuda Umno cawangan, di 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Chini,” kata Mohd Farid.

Katanya, tugas berat perlu dipikul calon kali ini kerana Allahyarham Abu Bakar Harun berkhidmat dengan cemerlang kepada penduduk sebagai Adun Chini, sebelum beliau meninggal dunia pada 8 Mei lalu.

Abu Bakar meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Abu Bakar menang 4,622 majoriti undi mengekalkan kerusi yang dimenangi sejak tiga penggal lalu dengan menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan PKR Mohd Razali Ithnain.

PAS sebelum ini berkata akan memberi laluan kepada Umno dan BN untuk bertanding di kerusi tersebut. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen