Sepanyol buka kolam renang, pusat beli belah mulai Isnin


Sepanyol melonggarkan perintah berkurung bersyarat secara berfasa mulai 11 Mei sehingga akhir Jun. – Gambar EPA, 29 Mei, 2020.

SEPANYOL semalam umum pelonggaran sekatan fasa kedua mulai minggu depan, yang membolehkan 70% rakyatnya berkunjung ke restoran, kolam renang dan pusat beli belah.

Mulai Isnin, beberapa wilayah baharu dibenarkan membuka kolam renang dan pantai dengan syarat mengehadkan bilangan pengunjung serta mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya dua meter.

Fasa kedua akan melibatkan seluruh Andalusia dan Valencia, sebahagian besar Catalonia, termasuk kepulauan Balearic dan Canary, kata Kementerian Kesihatan.

Pelonggaran ini juga akan membenarkan panggung wayang, teater dan auditorium dibuka tetapi kapasiti dihadkan hanya satu pertiga.

Pusat beli belah pula dihadkan kepada 40% kapasiti asal.

Bagaimanapun, fasa pertama pelonggaran sekatan pergerakan di dua kawasan paling teruk terjejas wabak Covid-19, iaitu Madrid dan Barcelona akan dikekalkan.

Penduduk di Madrid dan Barcelona boleh berkumpul tidak lebih 10 orang, di rumah atau teres restoran dan bar.

Sepanyol mencatatkan 182 kes baharu Covid-19 dengan 38 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan di negara itu adalah 237,906 kes, manakala angka kematian 27,119 orang.

Sepanyol melonggarkan perintah berkurung bersyarat secara berfasa mulai 11 Mei sehingga akhir Jun. – AFP, 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen