10% pesakit diabetis dijangkiti Covid-19 maut masuk hari ketujuh rawatan


Masuk hari ketujuh di hospital, satu perlima daripada 1,300 pesakit diberi bantuan pernafasan manakala satu satu per sepuluh daripada mereka meninggal dunia. – Gambar AFP, 29 Mei, 2020.

SATU daripada sepuluh pesakit diabetes yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh tujuh hari selepas dirawat di hospital, menurut kajian ke atas 1,300 pesakit yang diterbitkan dalam jurnal Diabetologia hari ini.

Dapatan kajian juga menunjukkan dua pertiga pesakit adalah lelaki, manakala usia purata bagi kedua-dua jantina adalah 70 tahun.

“Komplikasi diabetis dan pertambahan umur meningkatkan lagi risiko kematian,” kata para penyelidik dalam satu kenyataan.

“Pertambahan BMI (Indeks Jisim Tubuh) - ukuran untuk menilai berat badan anda berbanding dengan ketinggian - dikaitkan dengan peningkatan risiko keperluan bantuan pernafasan dan kematian.”

Komplikasi microvascular ke atas mata, buah pinggang dan saraf ditemui pada hampir separuh daripada pesakit yang dimasukkan ke 53 hospital di Perancis dari 10 hingga 31 Mac lalu.

Lebih 40 peratus pesakit mempunyai masalah berkaitan arteri lebih besar pada jantung, otak dan kaki, kata kajian.

Dua jenis komplikasi ini meningkatkan lagi risiko kematian pada hari ketujuh pesakit dirawat di hospital.

Pesakit berusi 75 tahun lebih 14 kali berisiko maut berbanding mereka yang berusia 55 tahun ke bawah.

Masuk hari ketujuh di hospital, satu perlima pesakit diberi bantuan pernafasan manakala satu satu per sepuluh daripada mereka meninggal dunia. Hampir satu perempat pesakit dibenarkan keluar hospital pada ketika ini.

Kajian turut mengesahkan bahawa insulin dan rawatan lain bagi mengawal gula dalam darah bukanlah faktor memburukkan jangkitan Covid-19 dan perlu diteruskan ke atas pesakit diabetis.

Faktor lain yang memburukkan lagi jangkitan adalah penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan sejarah penyakit paru-paru.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 yang dilapor di seluruh dunia kini mencecah hampir enam juta. 

Lebih 354,000 kematian akibat pandemik itu telah disahkan. – AFP, 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen