MUHYIDDIN Yassin menafikan khabar angin yang beliau kini berada di Singapura untuk menjalani rawatan perubatan.
“Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur,” katanya hari ini menerusi catatan di akaun Facebooknya.
Tambahnya lagi, walaupun sedang menjalani kuarantin, beliau masih terus bekerja bagi memastikan perbincangan bagi memerangi wabak Covid-19 terus berjalan.
Muhyiddin kini menjalani sesi kuarantin diri di rumah selama 14 hari bermula 22 Mei lalu selepas seorang pegawai kanan kerajaan yang hadir mesyuarat pasca Kabinet bersamanya disahkan positif Covid-19.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin sudah disahkan negatif Covid-19 pada Jumaat lalu, tetapi masih perlu menjalani kuarantin diri 14 hari.
Selain Muhyiddin, pegawai kanan kerajaan lain yang sedang menjalani kuarantin ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Khabar angin bertiup kencang apabila ada pihak mendakwa penyakit kanser pankreasnya kembali berulang dan beliau terpaksa mendapatkan rawatan di Singapura.
Beliau sebelum ini pernah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu di Singapura pada Ogos 2018.
Menerusi catatan di Facebooknya hari ini, Muhyiddin juga berkata beliau mengadakan sidang video bersama-sama Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tengahari tadi, untuk membincangkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia. – 28 Mei, 2020.
Komen