KEMENTERIAN Kesihatan akan menyemak semula protokol ujian di kesemua 14 depot tahanan imigresen di seluruh negara susulan peningkatan kes jangkitan awal minggu ini.
Ratusan pekerja asing yang ditahan di depot tahanan imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang disahkan positif koronavirus selepas ujian dijalankan ke atas hampir 5,000 tahanan dan petugas kesihatan di sana.
“Kita jalankan ujian saringan terhadap semua orang, termasuk tahanan dan kakitangan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.
“Kini kita sedang membincangkan prosedur di depot tahanan yang lain, termasuk empat di Sabah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dr Noor Hisham berkata, walaupun tiada jangkitan Covid-19 dikesan di luar tiga depot tahanan di Selangor, kementerian tetap akan pertimbangkan protokol ujian saringan baharu.
“Kita sedang menetapkan protokol, untuk menjalankan ujian ke atas semua orang sebelum dimasukkan ke depot tahanan,” katanya, dan menambah kementerian juga sedang meneliti protokol ujian di penjara.
Dr Noor Hisham juga melaporkan tiada kematian baharu melibatkan pekerja asing yang disahkan positif Covid-19.
“Kita akan pastikan mereka diberikan rawatan terbaik. Rawatan adalah untuk tempih dua minggu, kemudian kita hantar mereka pulang.”
“Bagi mereka yang disahkan negatif, kita sedang proses untuk hantar mereka balik ke negara asal. Nepal, Bangladesh dan Indonesia telah menyatakan mereka setuju untuk menerima mereka semula selepas ujian saringan dijalankan.”
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan pada 4 Mei, sejumlah 1,189 kes baharu direkodkan. Hanya 22.7% atau 270 kes melibatkan warga tempatan, dan selebihnya adalah warga asing.
Mereka termasuk 383 kes dikesan di tiga depot tahanan imigresen di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.
Dr Noor Hisham hari ini mengumumkan 10 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, yang mana ia merupakan terendah sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac.
Semalam, sebanyak 15 kes direkodkan.
Sejak 4 Mei, Malaysia dikenakan PKPB, yang dijadualkan berakhir pada 9 Jun. Dr Noor Hisham berkata, kawalan pergerakan mungkin akan dilonggarkan lagi sekiranya jumlah kes jangkitan kekal rendah.– 28 Mei, 2020.
Komen