Rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang perlu kebenaran KKM untuk beroperasi, kata exco


Pengumuman kerajaan pusat berhubung 174 rumah ibadat dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun tidak bermakna semua rumah ibadat  boleh dibuka semula secara automatik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

RUMAH ibadat bukan Islam di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuka semula operasi mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang Chong Eng.

Katanya pengumuman kerajaan pusat berhubung 174 rumah ibadat dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun tidak bermakna semua rumah ibadat  boleh dibuka semula secara automatik.

Pertubuhan agama bukan Islam di negeri ini harus membuat permohonan kepada perwakilan agama masing-masing atau melalui pejabatnya, kata Chong dalam kenyataan hari ini.

“Permohonan ini akan dihantar kepada Kementerian Perpaduan Negara dan perlu mendapat kebenaran daripada KKM terlebih dahulu sebelum operasi premis dibuka semula,” katanya

Beliau berkata permohonan juga boleh dibuat menerusi wakil kumpulan agama masing-masing iaitu Persatuan Buddhist Malaysia, Persekutuan Kristian Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Majlis Gudwara Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia.

Chong berkata kerajaan negeri juga menyediakan borang permohonan dalam talian menerusi https://bit.ly/3c4BoiD.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pembukaan semula rumah ibadat di Pulau Pinang boleh dimajukan kepada Paul Au di talian 04-6505143/010-3759964,” katanya. – Bernama, 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen