PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghantar sebanyak 32,400 kit ujian Covid-19 untuk Yaman dalam usaha membantu negara ini memerangi wabak maut itu, kata wakil WHO di Yaman, Altaf Musani dalam temu bual dengan Sputnik.
Menurut Musani, sistem kesihatan Yaman tidak mempunyai kelengkapan perlindungan diri mencukupi termasuk kekurangan pelitup muka.
“Setakat ini, WHO menyumbang 157 ventilator dan 8,400 kit ujian dan tambahan sebanyak 32,400 lagi dijadual tiba dalam beberapa minggu lagi,” kata Musani.
Musani berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekurangan dana untuk memenuhi semua keperluan perubatan di Yaman.
Selain itu, Musani berkata WHO telah membantu melengkapkan kemudahan di hampir 40 buah hospital untuk pesakit Covid-19.
“Menurut Kementerian Kesihatan jumlah kes Covid-19 di Yaman setakat ini mencecah 249 dengan 49 kematian dan 10 pesakit pulih. Jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi berbanding yang dilaporkan kerana kemampuan ujian saringan yang rendah.” – Bernama, 28 Mei, 2020.
Komen