POLIS mengeluarkan kompaun terhadap 64 individu yang melawat keluarga dan kawan-kawan pada Hari Raya kedua dan ketiga, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata semalam sahaja, kompaun diberikan kepada 728 orang dan 187 lagi diberi amaran kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Katanya, rakyat sudah dimaklumkan yang himpunan Hari Raya hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja, pada Ahad lepas.
“Jadi, kami keluarkan kompuan kepada 64 individu yang ditangkap melawat saudara mara dan kawan-kawan selepas Hari Raya pertama.
“Semalam, 728 orang diberikan kompaun. Daripada jumlah itu, 203 ditahan pada sekatan jalan raya.”
Katanya, Selangor merekodkan jumlah tertinggi kenderaan cuba merentas negeri yang dilarang di bawah PKPB, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka.
“Semalam, 842 kenderaan dihentikan dan diminta berpatah balik. Mereka cuba balik kampung untuk Raya.
“Selangor menyaksikan jumlah tertinggi sebanyak 514, Negeri Sembilan (54) dan Melaka (51).” – 28 Mei, 2020.
Komen