MUHYIDDIN Yassin tidak mustahil akan kembali menyertai Umno kerana beliau sekarang tiada banyak pilihan untuk terus bernafas dalam politik, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin.
Walaupun Muhyiddin menerajui kerajaan Perikatan Nasional, partinya tidak lagi mengetuai atau menentukan agenda kerajaan, tulis Kadir di blognya hari ini, dan menambah kerajaan PN telah jatuh ke tangan Umno dan PAS.
“Kita jangan hairan dan terperanjat jika Muhyiddin sedang memikirkan satu lagi opsyen, iaitu balik semula kepada Umno,” kata bekas wartawan veteran dan penyokong setia Dr Mahathir Mohamad.
“Kita kena ingat, Muhyiddin tidak keluar daripada Umno. Dia dipecat oleh Najib. Sedangkan Dr Mahathir keluar Umno secara sukarela. Maka adalah tidak mustahil atau memeranjatkan sekiranya Muhyiddin melakukan perjalanan pulang ke pangkuan Umno.
Muhyiddin, yang pernah memegang jawatan timbalan presiden Umno, dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2015 kemudiannya dipecat Umno pada 2016 kerana menyertai aktiviti pembangkang mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak yang diselubungi skandal 1MDB.
Pada 23 Februari, Muhyiddin dan beberapa ahli Parlimen Bersatu, tidak termasuk Pengerusi Bersatu Dr Mahatir Mohamad dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, mengadakan pertemuan di Hotel Sheraton dengan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, PAS dan pemimpin PKR.
Langkah itu kemudiannya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Kadir memberi amaran kepada ahli Bersatu bahawa Umno hanya memperalatkan gabungan Perikatan untuk mendapatkan kuasa untuknya sendiri dan rakan sekutunya PAS.
“Malah mereka boleh mencetuskan krisis, seperti undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, supaya kerajaan PN jatuh dan dengan itu memaksa pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU lebih awal.
“Kalau Umno boleh dengan mudah membuang Muhyiddin pada tahun 2016, sedangkan ketika itu dia Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, kita jangan hairan atau terperanjat kalau dia sekali lagi dipermainkan oleh Umno.
Beliau berkata amat penting bagi ahli-ahli Bersatu yang percaya kepada idealisme perjuangan menentang kleptrokasi dan menyelamatkan negara berusaha mengambil balik Bersatu daripada mereka yang khianat dan mabuk kuasa. – 28 Mei, 2020.
Komen