Korea Selatan catat lonjakan terbesar kes Covid-19 dalam dua bulan


Beberapa sekolah di Korea Selatan sudah mulai dibuka minggu lalu walaupun negara itu merekodkan lonjakan terbesar dalam kes Covid-19. – Gaambar EPA, 28 Mei, 2020.

KOREA Selatan merekodkan lonjakan terbesar dalam kes Covid-19 dalam dua bulan hari ini ketika mereka berusaha menangani kluster baharu yang mendatangkan kebimbangan kemungkinan adanya gelombang kedua.

Negara ini dijadikan sebagai model global dalam cara mengekang virus dan mulai meredakan sekatan tetapi kini sedang berusaha menangani jangkitan baharu ketika penduduk sedang kembali menjalani kehidupan normal.

Sebanyak 79 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 11,344 dengan kebanyakan jangkitan baharu dari kawasan Seoul yang padat.

Ini merupakan kenaikan terbesar sejak 81 kes diumumkan pada 5 April.

Wabak di gudang e-dagang Coupang di Bucheon sebelah barat Seoul menyaksikan 69 kes, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Kira-kira 4,100 pekerja dan pengunjung bangunan itu diasingkan dengan lebih 80 peratus diuji setakat ini, kata wakil Menteri Kesihatan Kim Gang-lip kepada wartawan.

“Kami menjangkakan jumlah kes baharu yang berkaitan dengan gudang akan terus meningkat hari ini,” katanya.

Undang-undang penjarakan sosial telah dilonggarkan di Korea Selatan dan kemudahan seperti muzium dan gereja dibuka semula.

Beberapa sukan professional termasuk besbol dan bola sepak memulakan musim baharu awal bulan ini walaupun di belakang pintu tertutup.

Pelajar sudah kembali ke sekolah sejak awal minggu lalu. – AFP, 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen