AKTIVIS Adam Adli Abd Halim hari ini dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur daripada tuduhan menyertai protes jalanan #KitaLawan dua tahun lalu.
Beliau dituduh melangggar Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana terlibat dalam protes jalan yang bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC, pada 28 Februari 2015.
Adam Adli berkata, keputusan mahkamah itu agak mengejutkan.
“Saya harap dengan kemenangan ini akan memberi lebih banyak lagi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang didakwa di bawah akta ini,” katanya.
Adam Adli yang tiba dari Pulau Pinang sampai di mahkamah pada jam 11.20 pagi. Beliau diwakili peguam Latheefa Koya.
Hakim Majistret Ahmad Solihim Abd Wahid ketika membacakan penghakimannya berkata, keputusannya itu adalah kerana kegagalan pihak pendakwa membuktikan kes prima facie terhadap Adam Adli.
Tahun lepas, Adam Adli mencabar tuduhan yang dibuat terhadapnya di Mahkamah Persekutuan.
Beliau mempersoalkan perlembagaan sama ada Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) mengenai pengharaman demonstrasi jalanan adalah sah disudut undang-undang.
Selain Adam, turut didakwa bersama adalah aktivis Jingga 13 Mohd Fariz Musa.
Pada 8 September tahun yang sama, kedua mereka mengaku tidak bersalah menyertai perhimpunan di tengah ibu kota.
Pada 2 November, Mahkamah Majistret membatalkan, tetapi tidak membebaskan Mohd Fariz Abd Talib @ Musa, 47, atas pertuduhan terlibat dalam demonstrasi jalanan #KitaLawan dua tahun lalu.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu setelah diberitahu oleh pihak pendakwa yang dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, bahawa Jabatan Peguam Negara membenarkan Mohd Fariz diwakilkan oleh peguam Eric Paulsen bagi mengkaji semula pertuduhan terhadapnya.
Bercakap pada wartawan, Raja Zaizul Faridah berkata perwakilan itu dibuat memandangkan Mohd Fariz menghidap diabetes dan sebelah kakinya telah dipotong.
Kes itu berjalan sehingga November. Tiga saksi dipanggil untuk beri keterangan. – 28 November, 2017.
Komen