10 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 di New York


Menurut laman web Pusat Sumber Coronavirus Johns Hopkins University setakat ini terdapat 29,484 kematian di New York daripada 100,418 kematian di seluruh AS. – Gambar EPA, 28 Mei, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA 10 rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat meninggal dunia akibat Covid-19 sementara 30 yang lain dijangkiti virus berkenaan, lapor The Star.

Portal berita itu memetik kenyataan Presiden Persatuan Malaysia Amerika (MAA) Kim Bong yang berkata dua daripada mereka merupakan ahli persatuan berkenaan.

Mangsa yang lain termasuk pasangan Malaysia di Brooklyn.

Beliau berkata MAA sudah membantu keluarga mangsa dengan menghubungi rumah pengebumian.

Persatuan itu juga telah menyumbangkan topeng muka ke hospital dan memasak makanan untuk petugas kesihatan. 

“ahli MAA telah mengadakan perjumpaan dalam talian selepas tidak dapat berjumpa secara langsung kerana Covid-19,” katanya.

Kim juga memberitahu The Star bahawa salah seorang daripada dua ahli MAA yang meninggal dunia adalah pemilik restoran dan yang lain dijangkiti ketika berada di kereta api bawah tanah.

Malah katanya beberapa penduduk di New York mula menerima nasihat untuk memakai topeng muka dengan serius pada awal wabak virus menular.

Menurut laman web Pusat Sumber Coronavirus Johns Hopkins University setakat ini terdapat 29,484 kematian di New York daripada 100,418 kematian di seluruh AS.

Negara ini mempunyai 1.7 juta kes Covid-19. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen