PUTRAJAYA membatalkan projek Bus Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur-Klang disebabkan pertindihan dengan LRT3 yang sedang dalam pembinaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Minggu lepas, kerajaan mengumumkan projek BRT bernilai RM2 bilion yang sejajar dengan Lebuhraya Persekutuan.
“Penelitian terperinci ke atas cadangan projek tersebut serta projek infrastruktur pengangkutan awam yang lain di Greater KL/Klang Valley (GKLKV) mendapati bahawa cadangan projek BRT ini akan bertindih dengan cadangan projek LRT3.
“Penelitian yang kita jalankan mendapati bahawa projek LRT3 akan memberi impak yang lebih besar daripada cadangan projek BRT tersebut,” kata Nancy di Dewan Rakyat semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri hari ini.
Projek LRT3 yang bernilai RM9 bilion dilancarkan tahun lalu dan dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2020.
LRT3 akan meliputi laluan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang melalui Glenmarie, Shah Alam dan Bandar Klang.
Nancy berkata, LRT3 diberikan keutamaan kerana ia merangkumi kawasan yang pada ketrika ini langsung tidak mempunyai capaian atau akses kepada mana-mana perkhidmatan rel bandar berbanding dengan BRT.
“Jajaran LRT3 turut meliputi 50% daripada cadangan jajaran BRT, iaitu dari sektor Klang ke Subang, manakala baki 50% jajaran BRT yang dicadangkan telah diliputi oleh perkhidmatan rel bandar seperti LRT Laluan Kelana Jaya dan KTM Komuter.
“Pembinaan LRT3 ini juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan sama ada perumahan atau komersil di kawasan barat Lembah Klang,” katanya. – 28 November, 2017.
Komen