BRITAIN menutup kedutaannya di Korea Utara dan semua diplomatnya sudah meninggalkan negara itu, kata duta besarnya pada Khamis ketika Pyongyang menjalankan kawalan kemasukan yang ketat untuk mencegah wabak koronavirus.
Korea Utara menutup sempadannya dan menegaskan tiada satu pun kes virus yang muncul di negara jiran China akhir tahun lalu dan kemudian melanda dunia.
Penutupan itu adalah tindakan sementara dan berlaku kerana “sekatan masuk Pyongyang ke negara itu menyebabtkan mustahil mengganti kakitangan kami dan menjalankan operasi kedutaan”, kata jurucakap Pejabat Luar Negeri.
Duta Besar Colin Crooks menulis di Twitter: “Kedutaan #BritishEmassy di #Pyongyang ditutup sementara pada 27 Mei 2020 dan semua kakitangan diplomatik meninggalkan #DPRK buat masa ini.”
Kedutaan Sweden - yang masih dibuka - membalas mereka akan merindui beliau dan pasukannya “dan berharap mereka dapat kembali segera”.
Laman berita pakar NK News berkata diplomat Britain melintasi sempadan ke China pada Rabu.
Britain berhasrat mengekalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara “dan akan berusaha untuk membina semula kehadiran kami di Pyongyang secepat mungkin”, kata Pejabat Luar Negeri.
Pada awal wabak, Pyongyang mengenakan sekatan kuarantin yang ketat terhadap semua warga asing, termasuk penutupan maya di premis mereka sendiri yang digambarkan oleh Duta Besar Rusia Alexander Matsegora sebagai “menghancurkan moral”.
Peraturan tersebut kemudian dilonggarkan dan puluhan diplomat dan orang asing lain dibenarkan meninggalkan negara itu pada Mac, ketika beberapa misi di Pyongyang ditutup, di antaranya kedutaan Jerman dan pejabat perwakilan Perancis - Paris tidak mengekalkan hubungan diplomatik penuh dengan Korea Utara.
Ratusan warga asing masih tinggal di negara ini.
Penganalisis berkata Korea Utara tidak mungkin dapat mengelakkan jangkitan, dan sistem kesihatannya yang buruk akan bergelut menangani wabak besar itu. – AFP, 28 Mei, 2020.
Komen