ANGKA kematian di Brazil akibat koronavirus kini melepasi 25,000 pada Rabu, ketika negara itu muncul sebagai pusat wabak global terbaharu.
Kementerian kesihatan mengesahkan 1,086 kematian baru dalam tempoh 24 jam terakhir.
Ini adalah kali kelima jumlahnya melebihi 1,000 sejak krisis memuncak di Brazil seminggu yang lalu.
Itu menjadikan angka kematian di seluruh negara kepada 25,598, yang keenam tertinggi di dunia.
Negara yang berjumlah 210 juta pendudu itu mempunyai 411,821 kes virus yang disahkan, kedua selepas Amerika Syarikat (AS) dan jumlah sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.
Presiden Jair Bolsonaro berdepan kritikan berhubung responsnya terhadap krisis kesihatan.
Pemimpin sayap kanan itu memperlekehkan keseriusan virus dan menolak langkah tinggal di rumah, dengan alasan risiko kejatuhan ekonomi menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding virus itu sendiri.
“Gelombang kedua yang disebut akan datang: kemelesetan. Ia akan mempengaruhi semua orang, tiada yang kecuali,” tulisnya di Facebook.
Tetapi kebanyakan kerajaan negeri berpegang kepada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menutup perniagaan tidak penting.
Sao Paulo, pusat perindustrian dan negeri paling teruk terjejas, melanjutkan sekatan pergerakan pada Rabu hingga 15 Jun, walaupun Gabenor Joao Doria mengumumkan pembukaan semula “beberapa aktiviti” secara beransur-ansur mulai 1 Jun.
Sementara itu, Bolsonaro menaruh harapan terhadap ubat hidroksiiklorokuin, yang - seperti Presiden AS Donald Trump - disebut-sebut sebagai ubat yang berpotensi melawan Covid-19.
Kementerian kesihatan Brazil mengesyorkan doktor dalam sistem kesihatan awam menggunakan hidroksiklorokuin atau ubat berkaitan, klorokuin, bagi bergejala Covid-19.
Ia berkata pada Isnin mematuhi garis panduan itu, walaupun WHO menamatkan ujian klinikal hidroksiklorokuin susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan keberkesanannya terhadap koronavirus.
Perang paling buruk
Brazil berdepan krisis dengan menteri kesihatan sementara, jeneral tentera Eduardo Pazuello - individu ketiga yang memegang jawatan itu dalam tempoh sebulan.
Penyandang terdahulu berhenti, dilaporkan kerana tidak setuju dengan Bolsonaro mengenai hidroksichloroquine dan presiden memecat menteri kesihatan sebelumnya, juga selepas berbalah mengenai cara menangani wabak itu.
Sementara itu, hospital semakin sesak di kawasan paling teruk terjejas dan wabak tersebut dijangka belum sampai ke kemuncak sehingga bulan depan.
“Kami sangat bimbang dengan jumlah kes baru yang dilaporkan minggu lalu di Brazil adalah yang tertinggi selama tujuh hari sejak wabak bermula,” kata Carissa Etienne, pengarah Organisasi Kesihatan Pan Amerika yang berpusat di Washington pada Selasa.
Seorang doktor terkenal, ahli sains saraf Miguel Nicolelis, menyifatkannya sebagai “perang terburuk yang pernah dihadapi Brazil.”
“Kita tidak pernah berdepan situasi seperti ini. Kita tidak pernah kehilangan 25,000 nyawa dalam masa tiga bulan,” kata Nicolelis, yang menyelaras tindak balas virus di wilayah timur laut yang miskin dan terjejas, kepada AFP.
“Kita tidak pernah diserang dalam sejarah, tetapi saya menyebut virus ini sebagai serangan. Ia seperti serangan tentera, dan menyerang seluruh negara.” – AFP, 28 Mei, 2020.
Komen