KOMPLEKS Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar ditutup bermula hari ini, susulan enam pelajar Thailand yang melalui pintu masuk sempadan itu untuk pulang ke negara mereka, disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata beliau telah dimaklumkan oleh pelbagai agensi berhubung penutupan ICQS Padang Besar itu.
“Saya juga dimaklumkan bahawa seramai 34 orang petugas ICQS iaitu terdiri daripada enam orang dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 10 orang dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan 18 orang dari Jabatan Imigresen Malaysia sedang menjalani proses kuarantin di Insitut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar,” katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Bernama hari ini melaporkan enam pelajar warga Thailand berusia antara 23 dan 33 tahun yang baharu kembali dari Arab Saudi masuk ke negara Thailand menerusi pintu sempadan di Padang Besar, disahkan postif Covid-19.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri, Ruzaini Rais turut mengesahkan perkara tersebut dan meminta seluruh rakyat Perlis agar lebih berjaga-jaga dan tidak memandang ringan kejadian seumpama itu.. – Bernama, 28 Mei, 2020.
Komen