Imam perempuan, sikap jujur beragama dan seni agama menindas


Mohd Syazreen Abdullah

PERNAH suatu ketika, isu imam perempuan jadi hangat. Kisah Amina Wadud menjadi imam kepada jemaah lelaki menggemparkan dunia Islam sekali gus dianggap menyeleweng daripada landasan ajaran agama Islam. 

Sebenarnya, polemik Amina Wadud menjadi imam perempuan bukan kisah pertama bahkan sudah ada sejak dari zaman Rasulullah SAW. 

Saya tidak mahu bicara lanjut kisah Amina Wadud, namun yang menjadi kebingungan ialah perihal imam perempuan ini masih dianggap asing dan tabu dalam budaya beragama masyarakat Melayu Islam khususnya. 

Isunya, baru-baru ini tercetus seorang perempuan menjadi imam kepada suaminya atas faktor keuzuran yang tentu dibolehkan dalam perbahasan fikah.

Masyarakat Melayu Islam atau netizen di sosial media marah dengan perbuatan tersebut. Peliknya netizen yang berlagak pandai dan mudah menghukum perbahasan ini dengan tohmahan dan kejian. 

Sikap mereka jadi begini kerana yakin bersandarkan hujah yang dibawakan oleh ustaz-ustaz yang mungkin berminda patriarki.

Padahal, ia sekadar perbincangan khilaf dalam fikah. Belum lagi kita bincangkan tentang kelayakan perempuan menjadi mufti. Barangkali lagi tidak senang duduk.

Janganlah berfikiran sempit sangat sehingga menafikan fikah yang anjal. 

Masyarakat kita mudah tersentap sekiranya ada orang berkata perempuan boleh menjadi imam kepada lelaki. Marah mereka bukan kepalang. 

Yang mendakwa perempuan boleh menjadi imam bukan rekaan saya atau siapa-siapa, malah ia perbincangan dalam kitab tradisi Islam hasil daripada ijtihad oleh pakar hukum perundangan Islam, iaitu ulama. 

Malangnya, kejahilan dan emosi kita membelakangi sudut ilmu. 

Saya tidak terkejut dengan reaksi masyarakat hari ini kerana sebahagian mereka memang sudah diasuh dengan pendidikan yang cenderung kepada lelaki sentiasa lebih berkuasa daripada wanita. 

Otak misoginis atau patriariki sudah lama ditanam sehingga beranak pinak dalam budaya Melayu Islam.

Kebiasaannya didoktrin dalam kuliah-kuliah agama oleh ustaz berminda misoginis. Ustaz cetek ilmu bermodalkan lawak seksual dan merendah-rendahkan martabat wanita. Mereka anggap itu modal jenaka. 

Janganlah marah sekiranya kita gelar mereka ini berminda patriarki kerana tafsiran mereka memang cenderung begitu. Pakailah dalil agama sekalipun.

Seboleh-bolehnya martabat wanita berada di tempat yang rendah berbanding lelaki. 

Malangnya, ustaz-ustaz patriarki ini lebih diterima dan disukai oleh masyarakat kita berbanding agamawan yang jujur dengan kesedaran ilmu. Tanpa kita sedari, inilah bala yang menimpa masyarakat melayu Islam hari ini.

Isu ini, seperti saya sebutkan di awal, bukan hal yang baru. Sudah ramai yang mengkaji dan mengulas. Masalah kita sahaja tidak mahu berlapang dada menerima keluasan fikah dek pekatnya darah patriarki yang mengalir dalam tubuh kita. 

Kita bimbang ia menjadi norma budaya masyarakat melayu Islam hari ini yang rela memilih bodoh sombong akibat kejahilan dan berlagak pandai dalam urusan fikah atau agama. 

Mereka menyempitkan hal agama yang boleh dianjalkan demi kemaslahatan dengan mengundurkan agama akhirnya menatijahkan kemudaratan dan penindasan. 

Bersikap jujur 

Walaupun perbincangan imam perempuan ini asing atau kontroversi dalam masyarakat beragama hari ini, namun apa-apa pun kita mesti jujur dalam menyandarkan perbahasan ilmu khususnya tentang bab perempuan boleh menjadi imam – disiplin ilmu. 

Perihal imam perempuan ini popular dengan hadis Ummu Waraqah. Ulama dan sarjana hukum Islam sudah lama berbincang dan meneliti isu ini. Saya hanya ringkaskan sahaja perbincangan tersebut. 

Bahkan anda juga boleh mencari maklumat tentang banyak hadis yang membenarkan perempuan menjadi imam ini terus di peranti Maktabah al-Syamilah atau dalam kitab seperti Musnad Ahmad bin Hanbal, Mu’jam Kabir al-Tabrani, Sunan Daruqutni, Sunan Kabir Baihaqi dan Musnad Ishaq bin Rawahiyah serta yang lain. 

Demikian, kita harus menyemak sejarah sanad dan matan hadis bahkan perawi tersebut seandainya kita dakwa hadis ini bersifat lemah dan tidak boleh dipakai dalam beramal – takhrij hadis. 

Penting bagi suatu hadis untuk dinilai dalilnya dalam menetapkan suatu hukum berdasarkan syarat tertentu. Tanpa menyemak dengan jujur, kita mudah lontarkan satu pandangan sahaja dan sekaligus menindas pandangan yang lain.

Kebanyakan agamawan sandarkan hadis ini lemah. Sudah tentu kebanyakan mungkin daripada ustaz berminda patriarki. Memanglah hadis ini ada ulama mengkaji mengatakan ia lemah.

Namun jangan dilupakan pandangan ulama yang berbeza mengatakan perempuan boleh menjadi imam kepada lelaki. 

Kadangkala kita jarang dengar pandangan ulama yang membenarkan kerana bukan agama yang menghalang tetapi otak kita yang sudah ditutupi dengan sikap patriarki dan misioginis yang menebal. 

Buktinya kita boleh sendiri menyemak dan menilai pandangan seperti Ibnu Jarir al-Tabari, al-Muzani, bahkan hadis Ummu Waraqah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah. 

Sebagai mengukuhkan lagi penghujahan, kita boleh meneliti dalam riwayat Ahmad bin Hanbal seperti ini: Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim, Walid bercerita kepadaku nenekku dari Ummu Waraqah adalah penghimpun al-Qur’an, Nabi benar-benar telah memerintahkannya untuk menjadi imam bagi keluarganya. 

Dalam hadis ini terdapat tambahan lafaz yang bermaksud “penghimpun Qur’an” yang mengisyaratkan kelebihan yang ada pada Ummu Waraqah sebagai penghimpun Quran sekali gus tanda beliau layak untuk menjadi imam kepada lelaki seperti dalam solat tarawih.

Sudah tentu pandangan ini pastilah tidak ditonjolkan dalam masyarakat Islam yang berimamkan ustaz patriarki. 

Sebagaimana As-Shan’ani dalam kitab Subulus Salam, dalam menyimpulkan hadis Ummu Waraqah memperlihatkan bahawa Ummu Waraqah sendiri menjadi imam solat bagi laki-laki tua, hamba sahaya, dan wanita hamba sahaya.

Ini jelas menunjukkan wujudnya dalil imam perempuan dalam hal-hal yang dibolehkan. 

Malah, hadis yang dikatakan lemah ini akibat kejanggalan pada perawinya itu telah diperbetulkan oleh seorang pakar iaitu Ibn Hibban yang sekaligus mengubah darjatnya menjadi hadis hasan.

Demikian, sekalipun kita tidak mahu bersetuju, namun ia tidak sedikit mengurangkan rasa hormat kita terhadap ijtihad ulama yang membenarkan perempuan menjadi imam ini.

Apakah kita ingin katakan yang ulama ini sesat juga? 

Rupanya kita ini yang berlagak alim. Walaupun jahil dalam asas ilmu agama dan sekadar bertaklid pun masih gamak bermudah-mudah menuduh mereka yang berbeza pandangan ini sesat dan jahil. 

Sekurangnya walau tidak bersetuju, kita harus menghormati pandangan yang berbeza.

Datangkan pandangan dalil yang berbeza ketika berbahas. Bukan tohmahan dan kejian. Apatah lagi menindas pihak tertentu.

Akhirnya kita sendiri yang kononnya mahu menjadi pejuang kebenaran secara tidak sedar telah menanamkan sikap patriarki dan menindas dalam masyarakat. 

Seni halus agama yang menindas 

Tidak pelik mengapa isu jenayah keganasan terhadap wanita berleluasa dalam masyarakat kita setiap hari ini.

Salah satu puncanya, wujud benih patriarki dan misioginis yang disadurkan dalam agama. Akhirnya masyarakat gagal bersikap jujur dalam memahami fikah, hadis dan tafsiran. 

Kadangkala ustaz berminda misoginis ini bukanlah mereka tidak faham bahasa Arab yang memang jelas wujud hadis yang membolehkan perempuan menjadi imam, tetapi kerana sikap yang sudah dibiasakan tafsiran kekuasaan bahawa lelaki lebih tinggi kedudukan darjatnya berbanding wanita, sehingga mereka sanggup membentangkan satu pandangan sahaja kepada masyarakat. 

Sampai bila kita mahu membodohkan masyarakat dalam hal agama demi menjaga kekuasaan agama majoriti – konservatif ?

Adakah kita mahu menjaga status quo berbanding jujur terhadap disiplin tradisi ilmu yang luas? 

Sedangkan dalam agama menyebut wanita dan lelaki sama dan tidak kurang atau tidak lebih. 

Mereka ini hamba Allah yang beriman dengan tauhid yang satu. Tidak ada sedikit kelebihan lelaki di pandangan Tuhan berbanding wanita. 

Janganlah meletakkan kasta dalam tafsiran agama sesuka hati kita.

Tidak nampakkah bahawa banyak golongan lelaki sampah di luar sana yang menggunakan lesen agama demi kepuasan nafsu dan mendera perempuan dek keegoaan yang wujud dalam sifat patriarki. 

Mereka ini sebahagian produk yang belajar tafsiran agama bahawa lelaki berkuasa mutlak terhadap wanita.

Mereka belajar daripada ustaz-ustaz yang kononnya mahu menyampaikan kebenaran dalam agama tetapi di masa yang sama membuka pintu penindasan. 

Wahai pak ustaz, janganlah kerana tafsiran sempit agama ini menjadikan kita buta hati tidak nampak betapa ramainya wanita yang menderita, ditindas dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga di luar sana akibat daripada budaya patriarki yang kita wujudkan dalam masyarakat Melayu Islam hari ini.

Jawablah di hadapan Tuhan nanti! – 28 Mei, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen