Duduk rumah jika dikuarantin, kata Dr Noor Hisham 


Bede Hong

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran agar mereka yang menjalani kuarantin di rumah mematuhi SOP dan tidak keluar dari rumah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2020.

TINDAKAN boleh diambil terhadap pesakit yang melanggar arahan kuarantin sendiri dan muncul di khalayak umum, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini adalah maklum balas kepada laporan dalam talian terdapat pesakit berada di khalayak umum yang dikenal pasti melalui gelang tangan kuarantin. 

“Sekiranya mereka dikenal pasti memakai gelang tangan itu, bermakna mereka perlu kekal di rumah. Mereka tidak boleh meninggalkan rumah mereka. Itulah maksudnya kuarantin sendiri,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kuarantin sendiri dikenakan walaupun pesakit tidak disahkan positif selepas mendapatkan rawatan di hospital. 

“Berjoging atau ke pasar, itu bukan kuarantin. Ini adalah kuarantin wajib. Kita nasihatkan mereka yag dikuarantin di rumah agar kekal di rumah.”

Dr Noor Hisham berkata kuarantin sendiri adalah di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang ingkar.

Hari ni sebanyak 15 kes dikesan, sembilan daripadanya adalah penularan tempatan. Dr Noor Hisham berkata angka itu adalah hadil daripada usaha sebelum ini untuk mengekang penularan Covid-19. 

Beliau turut mengingatkan bahawa “gelombang kedua” jangkitan boleh berlaku sekiranya masyarakat ingkar arahan penjarakan sosial. 

Beliau merujuk kepada amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa peningkatan jangkitan boleh berlaku di negara yang melonggarkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.  

“Sekiranya kita tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) mungkin akan berlaku kes baharu. Jadi kita perlu bimbang dengan jangkitan baharu terutamanya pada musim perayaan. 

“Kita boleh elakkan gelombang kes sekiranya kita patuhi SOP iaitu penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain, mengelakkan 3C (tempat sesak, kontak rapat dan ruang sempit) dan mengikut 3W (cuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka, dan peka dengan amaran kesihatan awam).”

Semalam, Kementerian Kesihatan menjalankan 21,000 ujian dan Dr Noor Hisham berharap ia boleh dipertingkatkan kepada 30,000 minggu hadapan. 

Katanya, 120 hospital di selur negara dilengkapi peralatan untuk ujian saringan jangkitan Covid-19, dengan 40 hospital boleh  merawat pesakit wabak itu, termasuk tujuh hospital khas Covid-19. 

Noor Hisham berkata, hospital mampu menempatkan 15% pesakit Covid-19 dengan 1,090 alat bantuan pernafasan tersedia. Sekiranya berlaku peningkatan kes Noor Hisham menjangkakan 80% kes berada dalam Kategori 1 dan 2, iaitu pesakit tidak bergejala atau mengalami gejala ringan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa tempat yang boleh dibuka dan menahan pesakit yang tidak bergejala atau mengalami gejala ringan.” – 27 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen