PRESIDEN Joko Widodo mengingatkan pihak berkuasa tempatan di seluruh Indonesia supaya menangani terlebih dahulu penularan Covid-19 sebelum menerapkan kebiasaan baharu untuk membuka semula ekonomi, lapor media di republik itu.
Beliau memberi pengingatan itu sehari selepas mengumumkan kerahan tentera dan polis di empat wilayah serta 25 daerah dan bandar untuk membantu proses itu.
Empat wilayah itu ialah di Jakarta, Bekasi di Jawa Barat, Sumatera Barat dan Gorontalo di Sulawesi, sementara 25 daerah dan bandar itu termasuk Pekanbaru, Dumai, Palembang, Tangerang, Surabaya, Palangkarya, dan Banjarmasin.
“Saya minta tolong disemak tahap persiapan setiap daerah dalam mengendalikan virus ini,” katanya seperti dipetik CNN Indonesia.
Jokowi hari ini mengadakan mesyuarat tertutup membincangkan pelaksanaan protokol tatanan kebiasaan baharu di Istana Merdeka di Jakarta.
Beliau sebelum itu sempat meninjau persiapan di beberapa lokasi antaranya sebuah pusat membeli belah di Bekasi dan sebuah stesen transit aliran deras (MRT) di tengah Jakarta, bersama pegawai kanan pemerintah, pihak berkuasa dan pemimpin daerah.
Indonesia mulai hari ini mengerahkan pasukan tentera dan polis untuk berjaga di 1,800 lokasi bertujuan mendisiplinkan masyarakat agar mematuhi peraturan dan tatanan baharu mencegah penularan Covid-19.
“Untuk daerah yang masih tinggi, lengkung (jangkitan) masih naik, saya sudah perintahkan (pihak tentera dan polis), kita tambah bantuan pasukan di sana agar boleh menekan lengkung tidak naik lagi,” katanya.

Jokowi juga mengerahkan ujian saringan dan usaha mengesan mereka yang dikhuatiri dijangkiti Covid-19 diperhebatkan.
Beberapa daerah yang menunjukkan trend penurunan jangkitan minggu ini mula bersiap-siap untuk membuka semula ekonomi dengan menerapkan beberapa prosedur untuk mencegah jangkitan.
Jakarta mengenakan perintah kawalan pergerakan sehingga 4 Jun ini yang dikuatkuasakan secara berperingkat sejak 15 Mac lalu.
Setakat hari ini, Indonesia – negara dengan penduduk lebih 273 juta orang – setakat ini mengesan 23,851 kes jangkitan yang melibatkan 1,473 kematian dan lebih 6,000 pesakit sembuh.
Angka itu bagaimanapun dikhuatiri oleh banyak pihak sebagai sangat konservatif kerana Indonesia setakat ini hanya menguji tidak lebih 300,000 orang. – 27 Mei, 2020.
Komen