Sekolah menengah Hong Kong kembali dibuka


Ratusan sekolah di Hong Kong mula ditutup pada hujung Januari lalu kerana wabak Covid-19. – Gambar AFP, 27 Mei, 2020.

PELAJAR sekolah menengah Hong Kong kembali ke sekolah hari ini apabila daerah pusat kewangan dunia itu berjaya mencegah penularan wabak Covid-19.

Ratusan sekolah menengah mula menerima kembali pelajar mereka sejak sekolah di wilayah itu mula ditutup hujung Januari lalu.

Pelajar yang lebih muda akan kembali ke sekolah secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang, manakala sekolah antarabangsa juga sudah mula menyambung sesi persekolahan mereka.

Hong Kong adalah antara kawasan pertama dilanda wabak Covid-19 yang menular dari China itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya mencegahnya daripada menular teruk dengan hanya 1,000 jangkitan dan empat kematian dilaporkan.

Wilayah semi autonomi itu melaksanakan perintah berkurung separa pada Mac, tetapi perniagaan kebanyakannya mula dibuka sejak beberapa minggu lepas.

Jangkitan tempatan turut dilaporkan sudah terhenti dengan wilayah itu merekodkan 11 hari sifar kes berturut-turut.

Kebanyakan kes yang masih dilapor adalah daripada mereka yang kembali dari luar negara dan menjalani saringan di lapangan terbang dan dihendaki menjalani kuarantin.

Pembukaan semula sekolah hari ini secara kebetulan berlaku serentak dengan perbahasan dalam Parlimen wilayah itu yang mencadangkan undang-undang menghina lagu kebangsaan China.

South China Morning Post melaporkan beberapa orang pelajar membawa sepanduk mendesak demokrasi diserahkan kepada penduduk wilayah itu ketika kembali ke sekolah pagi tadi. – AFP, 27 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen