SEDIKIT salah faham minggu lalu menunjukkan kepada kami apa maknanya portal berbahasa Mandarin ini dan kenapa ia perlu ada di Malaysia.
Kami menyiapkan sebuah video promosi dan menutupnya dengan sepotong ayat yang berbunyi “Berita sehangat teh pagi anda” dalam Mandarin dan Bahasa Inggeris. Tetapi lelaki dalam video itu membancuh kopi.
Ia tiada masalah dalam Mandarin kerana teh bermakna minuman tetapi dalam Bahasa Inggeris, maksudnya tidak begitu tepat. Semuanya menunjukkan kepada soal budaya dan bahasa.
Dan begitulah juga dengan Malaysia.
Ini sebuah negara yang berbilang kaum, pelbagai bahasa dan banyak idea sehinggakan ada kalanya sukar untuk kita berkomunikasi antara satu sama lain.
Dari tahun ke tahun, rakyat Malaysia, suka atau tidak, semakin terperuk dalam kelompoknya sendiri dan kurang memahami antara satu lain, tidak seperti sebelumnya. Ada banyak sebab kenapa ini terjadi tetapi hanya kita saja yang boleh memecahkan tembok yang memisahkan itu.
Satu caranya tentulah melalui berita. The Malaysian Insight ialah sebuah portal berita mengenai maklumat, menyebarkan maklumat agar anda membuat keputusan yang bermaklumat.
Misi kami ialah memberikan pemahaman yang jelas tentang Malaysia, baik politik, ekonomi mahupun isu sosial. Sekiranya keputusan pasaran dibuat di peringkat global dan politik di peringkat lokal, tugas kami merapatkan jurang itu dan memberi suluhan kepada semua.
Kami tumbuh bersama Malaysia hari ini, menuju Malaysia yang lebih baik dan makmur. Kerana ini negara kita, tanah air kita dan kami mahu berkongsi wawasan untuk diketahui dan difahami oleh semua rakyat Malaysia.
Kami menghimpunkan pasukan yang muda untuk edisi ini, sama mudanya dengan mereka yang menyertai The Malaysian Insight sebelumnya. Mereka akan memburu berita dan maklumat di serata Malaysia, menyusun video dan gambar dan grafik, untuk dibaca dalam tiga bahasa.
Kami mahu mendengar semua cerita dan isu anda, kebimbangan dan idea, untuk Malaysia yang lebih baik, tanah air kita.
Terima kasih. – 28 November, 2017.
Komen