Status Pati bukan alasan kematian Covid-19, kata kumpulan peguam


Bede Hong

Warga asing beratur bagi menjalani saringan Covid-19 di Pudu, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2020.

STATUS pendatang asing tanpa izin (Pati) bukan alasan kematian pandemik Covid-19, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Kumpulan peguam itu berkata tindakan tidak berkesan dilakukan kerajaan menyebabkan Pati dianiaya secara tidak adil dan bukannya ejen atau majikan yang telah mengeksploitasi mereka.

“Kerajaan harus mengakui bahawa ramai Pati menjadi mangsa mereka yang menggunakan polisi kerajaan yang tidak berkesan.

“Jangkitan dalam kalangan pendatang asing di depoh tahanan tidak boleh dianggap sebagai ‘korban yang dapat diterima’ dalam memerangi wabak tersebut.

“Penjagaan kesihatan adalah hak asas yang harus menjadi keutamaan ketika waktu sukar ini,” kata LFL dalam satu kenyataan hari ini.

LFL berkata Pati dibawa oleh ejen swasta domestik untuk digaji sebagai pekerja warga asing dan hanya bertukar menjadi “haram” kerana kelemahan dalam sistem.

“Namun migran yang dikeji bukan ejen atau majikan yang mengeksploitasi mereka. Mereka adalah punca masalah dan kerajaan harus mengatasi hal itu dan bukannya bergantung pada retorik jingoistik yang murah,” katanya.

Kumpulan itu maklum dengan kenyataan tegas dibuat Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam yang berkata Putrajaya tidak akan “tunduk” kepada tuntutan untuk melindungi hak-hak pendatang kerana keutamaannya adalah menjaga keselamatan rakyat Malaysia dari Covid-19.

LFL mendesak kerajaan menghentikan “serangan tidak beralasan” terhadap komuniti warga asing dan meminta mereka yang tidak memiliki dokumen diberikan pengampunan sementara dan akses ke pusat kesihatan semasa krisis virus berlaku.

“Ini mengejutkan apabila kerajaan yakin penahanan pendatang asing tanpa izin secara besar-besaran semasa perintah kawalan pergerakan akan dapat melindungi rakyat Malaysia dari pandemik.

“Setiap peningkatan kes akan mendatangkan beban kepada sistem penjagaan kesihatan kita sendiri dan penyebaran Covid-19 bahkan dalam kalangan pendatang di pusat tahanan dapat meningkatkan risiko jangkitan kepada pegawai imigresen, kakitangan dan pekerja barisan hadapan yang perlu menangani mereka dari dijangkiti,” katanya. – 27 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen