PERTUBUHAN kesihatan antarabangsa menyuarakan kebimbangan susulan penularan Covid-19 yang semakin meningkat di Brazil, Peru dan Chile.
“Di Amerika Selatan, kami memberi penekanan kepada angka bagi kes baharu yang dilaporkan pada minggu lalu, di Brazil iaitu jumlah tertinggi dalam jangka masa seminggu, sejak wabak ini bermula.
“Peru dan Chile turut mencatatkan peningkatan kes, ia menunjukkan penyebaran pandemik masih tinggi membabitkan ketiga-tiga negara ini,” kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) yang berpangkalan di Washington, Carissa Etienne dalam satu taklimat mingguan.
PAHO yang berfungsi sebagai pejabat serantau bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjalankan pemantauan terhadap pergerakan pandemik itu di Amerika Latin dan Carribean.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada 25 Mei, jumlah kes Covid-19 di Amerika Latin mengatasi angka kes harian bagi Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Setakat ini, sekitar 73,000 kes Covid-19 di Amerika Selatan daripada lima juta penduduk dunia yang dikesan turut dijangkiti, dengan lebih daripada 35,900 orang terkorban akibat pandemik itu.
Katanya, wilayah berkenaan tidak diragui lagi sebagai pusat kepada pandemik berkenaan.
Beliau turut menyeru semua negara supaya terus berjuang bagi menyekat penyebaran wabak itu yang menurut pakar, angka sebenar jangkitannya melebihi jumlah yang disahkan secara rasmi.
“Bagi kebanyakan negara di Amerika, sekarang bukan masa untuk melonggarkan sekatan atau menimbang semula strategi pencegahan,” katanya.
Antara lain, PAHO mencadangkan kombinasi penjarakan sosial, ujian dan persediaan sistem kesihatan untuk melawan coronavirus yang diisytiharkan sebagai pandemik, pada 11 Mac lalu selepas kali pertama muncul di China pada tahun lalu.
Menurut model IHME dari University of Washington, Amerika Syarikat, jumlah kematian harian di Brazil dijangka akan memuncak sekitar 1,020 orang sehari pada 22 Jun nanti.
Brazil yang kini mencatatkan 375,000 kes Covid-19, menjadi negara dunia dengan kes tertinggi coronavirus selepas Amerika Syarikat dengan jumlah kematian setakat ini 23, 473 orang. – AFP, 27 Mei, 2020.
Komen