Perintah berkurung di Arab Saudi tamat 21 Jun


Perintah berkurung akibat Covid-19 di Arab Saudi akan tamat pada 21 Jun, kecuali di kota suci Mekah, selepas dua bulan sekatan dikuatkuasakan. – Gambar AFP, 27 Mei, 2020.

ARAB Saudi semalam berkata ia akan menamatkan perintah berkurung koronavirus di seluruh negara pada 21 Jun, kecuali di kota suci Mekah, selepas dua bulan sekatan dikuatkuasakan.

Solat juga akan dibenarkan semula di semua masjid di luar Mekah bermula 31 Mei, kata kementerian dalam negeri.

Di tempat lain di Teluk, Kuwait dan Dubai juga mula melonggarkan langkah sekatan, yang menyebabkan kejatuhan harga minyak, akibatnya rantau itu berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh berdekad.

Arab Saudi, yang melaporkan kes koronavirus tertinggi di Teluk, mengenakan langkah berkurung sepenuhnya di seluruh negara pada hari raya pertama Aidilfitri.

Kementerian itu berkata ia akan mula melonggarkan sekatan secara berperingkat bermula minggu ini, dengan perintah berkurung hanya antara 6 pagi dan 3 petang, antara Khamis dan Sabtu.

Dari Ahad hingga 20 Jun, perintah berkurung akan dilonggarkan hingga 8 malam, kata kementerian. Negara itu akan menarik balik semua perintah berkurung mulai 21 Jun.

“Mulai Khamis, kerajaan akan masuk ke fasa baharu (dalam menangani pandemik Covid-19) dan secara perlahan akan kembali kepada normal dengan peraturan penjarakan sosial,” kata Menteri Kesihatan Tawfiq Al-Rabiah.

Arab Saudi melaporkan 75,000 kes jangkitan koronavirus dengan 400 kematian.

Di Emiriyah Arab Bersatu yang melaporkan lebih 30,000 kes dan 248 kematian, pihak berkuasa di Dubai melonggarkan sekatan bagi perniagaan dan memendekkan waktu perintah berkurung.

Arab Saudi pada Mac menggantung kebenaran mengerjakan ibadah umrah kerana bimbang penularan wabak itu di Mekah dan Madinah dan penggantungan itu masih diteruskan, kata kementerian dalam negeri.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengumumkan sama ada ibadah haji akan diteruskan tahun ini atau tidak – haji dijadualkan pada hujung Julai – tetapi Arab Saudi menasihati umat Islam untuk menangguh sementara persediaan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. – AFP, 27 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen