KUMPULAN yang mewakili pusat kesihatan, kecergasan serta gimnasium mengemukakan cadangan prosedur operasi standard ke Putrajaya dalam usaha untuk membuka kembali perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19 secepat mungkin.
Mereka sudah menghubungi pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Belia dan Sukan mengenai garis panduan pembukaan semula operasi bagi memastikan keselamatan perniagaan dan pelanggan mereka.
Cadangan dihantar kepada menteri sebelum cuti Hari Raya dan mereka kini sedang menunggu maklum balas positif.
Salah sebuah kumpulan adalah Persatuan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MASMMAA) yang mewakili pengendali gimnasium MMA yang ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.
“Baru-baru ini kami menjalankan sesi taklimat umum secara maya untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli komuniti MMA kami mengenai cadangan SOP,” kata setiausaha MASMMAA Brent Yap.
“SOP yang ada sekarang akan meletakkan dasar untuk versi yang lebih inklusif dan luas, yang kami harap dapat ditukar menjadi kertas kerja untuk disampaikan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan,” katanya.
Kertas kerja itu dijangka diselesaikan bulan depan, tambahnya.
Negara kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei dan akan berakhir pada 9 Jun.
Putrajaya bagaimanapun boleh melanjutkan perintah berkenaan jika jumlah jangkitan kes baharu Covid-19 terus meningkat.
Semalam jumlah jangkitan sebanyak 7,604 sementara jumlah kematian seramai 115 orang.
“Sudah tentu semua pemilik gym ingin membuka operasi secepat mungkin,” kata Jennifer See yang mengendalikan Fitness Factory di Kuala Lumpur.
“Kami sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan. Kami akan menetapkan SOP bersesuaian dengan standard ditetapkan dan mengubahnya dengan sewajarnya (mengikut keperluan kerajaan),” katanya.
Walaupun peniaga berusaha untuk meneruskan operasi, sebahagian daripada mereka meneruskan operasi secara dalam talian seperti sekolah yoga di mana setiap pelanggan yang mengambil bahagian hanya memerlukan tikar, komputer riba dan sambungan internet.
“Putrajaya perlu memutuskan apa protokol yang perlu dibuat,” kata Jerrican Tan yang menjalankan pusat latihan kecergasan professional di Petaling Jaya.
Tan berkata peraturan yang berbeza-beza di rantau ini seperti di Thailand di mana gymnasium diminta untuk membersihkan alat penimbang dengan pembasmi kuman setelah digunakan sementara ahli perlu memakai topeng muka.
Sebagai perbandingan tidak ada peraturan seperti itu diperlukan di Vietnam yang tidak mencatat sebarang kematian Covid-19.
“Latihan kumpulan akan terjejas. Kapasiti juga akan terjejas. Operasi pusat perniagaan harus mengehadkan jumlah maksimum pelanggan,” katanya sambil menambah bahawa pelatih peribadi perlu berhati-hati agar tidak menyentuh pelanggan.
Oleh kerana jumlah pelanggan yang dibenarkan memasuki premis rendah, pengendali mungkin perlu memanjangkan waktu operasi sehingga malam.
“Kemudian mereka perlu membayar pekerja yang bekerja di waktu malam. Kos membasmi kuman di premis juga diperlukan. Semua perubahan ini akan mempengaruhi kos operasi dan pendapatan pusat kecergasan.
“Saya tahu ramai pengendali mahu membuka semula premis mereka tetapi saya fikir mereka perlu mempertimbangkan sama ada kewangan mampu atau tidak,” katanya. – 27 Mei, 2020.
Komen