KONTRAKTOR perlu bertanggungjawab memastikan tempat tinggal pekerja mematuhi prosedur bagi mengekang penyebaran Covid-19, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.
Mereka yang gagal mengikuti prosedur operasi standard di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja tidak akan dibenarkan memulakan operasi mereka, katanya.
“Saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua kontraktor bahawa mereka bertanggungjawab memastikan tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja mereka mematuhi SOP PKPB dengan ketat bagi membendung penyebaran Covid-19.
“Sekiranya kontraktor gagal mematuhi undang-undang bertulis, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka termasuk menggantung atau membatalkan pendaftaran kontraktor mereka,” kata Fadillah yang juga Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) dalam satu kenyataan malam ini.
Undang-undang di bawah Akta Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 466) dan peraturan lain untuk industri pembinaan menyamakan penginapan pekerja di tapak pembinaan untuk mematuhi standard minimum.
“Undang-undang menjadikan tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja tinggal di tempat yang betul dengan kemudahan memadai seperti diperuntukkan oleh undang-undang.
“Dengan adanya PKPB, syarat ini diperkuat dengan SOP lain untuk memastikan tempat tinggal pekerja selamat dari wabak Covid-19,” katanya.
Setakat ini tiga kluster jangkitan dengan 88 kes positif dikesan di tapak pembinaan.
Tiga kluster tersebut adalah tapak pembinaan Kuala Lumpur, tapak pembinaan Setia Alam dan kluster pembinaan Kuala Lumpur 2.
Daripada 88 kes positif, 77 adalah warga Bangladesh, 11 Indonesia dan seorang rakyat Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – 26 Mei, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen