Putrajaya akan hantar pulang Pati negatif Covid-19


Noel Achariam

Kementerian Luar akan menghubungi kedutaan negara berkaitan untuk berbincang mengenai pengurusan membawa pulang Pati yang negatif Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

SEMUA pendatang asing tanpa izin (Pati) di depoh tahanan imigresen yang diuji negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara masing-masing, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, Kementerian Luar akan menghubungi kedutaan negara berkaitan untuk berbincang mengenai pengurusan membawa pulang Pati berkenaan.

“Yang negatif berada di depoh, kita memutuskan mereka dihantar pulang ke negara mereka. Yang positif kita rawat. Yang negatif di depoh-depoh lain di seluruh negara, kita perlu menghantar mereka pulang.

“Kita juga memutuskan semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan sokongan setiap depoh di Malaysia akan disaring wajib,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan 172 kes baharu Covid-19, dengan 112 daripadanya membabitkan Pati di depoh tahanan imigresen di Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini pegawai di semua depoh disahkan negatif Covid-19. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen