Malaysia tunggu laporan China uji vaksin Covid-19, kata Dr Noor Hisham


Laporan kajian vaksin Covid-19 oleh China dijangka siap pada November atau Disember nanti sama ada vaksin dijalankan ke atas haiwan berkesan sebelum dapat melaksanakan fasa ketiga iaitu ke atas manusia. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menunggu laporan China berhubung kajiannya terhadap vaksin Covid-19 yang dijangka siap pada hujung tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata beliau delegasi dari China ketika lawatan baru-baru ini ada memaklumkan bahawa negara itu sedang menjalankan kajian fasa kedua.

Katanya laporan kajian itu dijangka siap pada November atau Disember nanti sama ada vaksin dijalankan ke atas haiwan berkesan sebelum dapat melaksanakan fasa ketiga iaitu ke atas manusia.  

“Kami (KKM) belum dapat laporan untuk kajian yang perlu dilaksanakan kepada manusia, sekarang hanya ke atas haiwan. 

“Kalau mereka kenal pasti vaksin tersebut berjaya dijalankan ke atas haiwan dan boleh diguna pakai untuk manusia, KKM akan cuba mendapatkan kerjasama dari negara berkenaan untuk menjalankan kajian bersama,” katanya. 

Thailand hari ini mengumumkan percubaan vaksin Covid-19 terhadap monyet selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif.

Pengarah Institut Vaksin Kebangsaan Nakorn Premsri dilaporkan berkata jika ujian ke atas monyet juga memberikan keputusan positif, percubaan terhadap manusia dapat dijalankan menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Sementara itu, ditanya kebimbangan pertambahan sisa klinikal susulan pandemik Covid-19, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada masalah dari segi pengurusan sisa klinikal kerana ia dilakukan mengikut garis panduan. 

Jelasnya setiap hospital dan klinik kesihatan akan mengurus sisa klinikal dan seterusnya gunakan khidmat luar pengurusan sokongan di KKM. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen