SELANGOR mencatat jumlah tertinggi cubaan merentas negeri untuk pulang ke kampung pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, Selangor merekod 685 cubaan merentas negeri, diikuti Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72) semalam.
“Semalam, sebanyak 1,243 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan nak balik ke kampung dan telah diarahkan berpatah balik oleh pihak PDRM. Dibandingkan lebih banyak dengan hari sebelumnya iaitu 1,158.
“Semalam juga, PDRM mengeluarkan 214 kompaun di sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri juga berkata polis mendirikan 162 sekatan jalan raya di semua sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 127,552 kenderaan.
“Seperti yang saya katakan, PDRM pastinya akan mengambil tindakan yang keras terhadap mereka yang cuba merentasi negeri tanpa kebenaran termasuklah mengenakan kompaun.
“PDRM juga telah mengeluarkan 14 kompaun terhadap mereka yang dikesan merentasi negeri dan berada di kampung halaman masing-masing,” katanya.– 25 Mei, 2020.
Komen