Sepanyol longgarkan kurungan di Madrid, Barcelona


Di bawah kelonggaran bersyarat ini, restoran dibenarkan untuk dibuka kepada bilangan pelanggan yang terhad. – Gambar AFP, 25 Mei, 2020.

SEPANYOL melonggarkan perintah kawalan pergerakan di Madrid dan Barcelona bermula hari ini, yang akan membolehkan penduduknya kembali berhimpun walaupun dalam jumlah yang kecil dan bersyarat, lapor AFP.

Agensi berita itu menyebut perintah berkurung di Madrid dan Barcelona, dua kota raya paling ramai penduduk di Sepanyol, sebagai antara yang paling ketat di dunia.

Dengan kelonggaran bersyarat mulai hari ini, penduduk di Madrid dan Barcelona boleh berkumpul tidak lebih 10 orang, di rumah atau teres restoran dan bar.

Taman awam juga akan mula dibuka sementara muzium utama dibenarkan beroperasi untuk menerima pengunjung dalam jumlah yang terhad.

Kelonggaran di Madrid dan Barcelona serta sebahagian besar wilayah Castile-Leon di barat laut Sepanyol adalah fasa pertama daripada kelonggaran bersyarat empat peringkat.

Wilayah ini antara yang teruk terjejas ketika Sepanyol menanggung kesan Covid-19 yang setakat ini membunuh lebih 28,700 orang di negara itu, antara korban tertinggi dunia.

Wilayah lain pula sedang memasuki fasa kedua kelonggaran bersyarat, yang dijangka akan dikenakan sehingga akhir Jun.

Di bawah kelonggaran bersyarat ini, restoran dibenarkan untuk dibuka kepada bilangan pelanggan yang terhad. Kegiatan riadah dan sukan juga tidak lagi dihadkan antara jam tertentu.

Pantai juga dibuka tetapi tertakluk kepada syarat keselamatan kesihatan, antara penjagaan jarak sehingga empat meter.

Kerajaan Sepanyol minggu lalu mengumumkan akan membuka sempadan kepada pelancongan asing mulai Julai sementara liga bola sepak akan bermula pada awal Jun.

Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan pelan membuka semula sempadan itu minggu lalu ketika kesabaran rakyatnya semakin tipis selepas dikenakan perintah berkurung sejak Mac.

Ribuan rakyat Sepanyol mengadakan tunjuk perasaan dengan berkereta di jalan raya kelmarin (Sabtu, 23 Mei), yang dianjurkan oleh sebuah parti politik haluan kanan, mengecam cara kerajaan mengendalikan penularan Covid-19. – Agensi, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen