KORONAVIRUS membunuh sekurang-kurangnya 343,211 orang sejak wabak pertama kali muncul di China pada Disember lalu, menurut data sumber rasmi yang dikumpul AFP pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 5,362,160 kes koronavirus dilaporkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 2,079,300 kini dianggap pulih.
Angka, menggunakan data yang dikumpulkan oleh AFP daripada pihak berkuasa negara dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya mencerminkan sebilangan kecil jumlah jangkitan sebenar.
Sebilangan besar negara hanya menguji kes simptom atau yang paling serius.
Sejak 1900 GMT pada Sabtu, 3,441 kematian dan 99,827 kes baharu direkodkan di seluruh dunia.
Negara yang mencatatkan kematian tertinggi adalah Brazil dengan 965 diikuti Amerika Syarikat (AS) dengan 951 dan Mexico 190.
AS yang melaporkan kes pertama virus itu pada awal Februari, adalah negara paling teruk terjejas, dengan 97,430 kematian dan 1,633,076 kes. Sekurang-kurangnya 361,239 kini dianggap pulih.
Selepas AS, negara paling teruk terjejas adalah Britain dengan 36,793 kematian daripada 259,559 kes; Itali 32,785 daripada 229,858 kes; Sepanyol 28,752 kematian dan 235,772 kes; dan Perancis 28,367 kematian dan 182,584 kes.
Antara angka kematian per kapita terburuk adalah di Belgium, yang mencatatkan 80 kematian bagi 100,000 penduduk; Sepanyol 61; Britain dan Itali kedua-duanya 54; dan Perancis 43 orang bagi 100,000 penduduk.
China - tidak termasuk Hong Kong dan Macau - setakat ini melaporkan 4,634 kematian dan 82,974 kes. Ia mencatatkan 78,261 pemulihan.
Secara keseluruhan Eropah mempunyai 173,915 kematian daripada 2,021,900 kes, AS dan Kanada 103,889 kematian daripada 1,717,158 jangkitan; Amerika Latin dan Caribbean 39,166 kematian daripada 720,260 kes; Asia 13,992 kematian daripada 441,447 kes; Timur Tengah 8,805 kematian daripada 343,372 kes; Afrika 3,314 kematian daripada 109,562 kes; dan Oceania 130 kematian daripada 8,466 kes. – AFP, 25 Mei, 2020.
Komen