CHINA terbuka terhadap kerjasama antarabangsa bagi mengenal pasti sumber koronavirus tetapi setiap siasatan perlu “bebas campur tangan politik”, kata menteri luar China pada Ahad.
Wang Yi mengecam apa yang disebutnya sebagai usaha para ahli politik Amerika Syarikat (AS) untuk “mereka-reka khabar angin” berhubung asal usul patogen dan “stigma China”.
AS dan Australia menggesa sejak beberapa minggu kebelakangan ini bagi penyelidikan mengenai asal usul wabak tersebut.
Presiden AS Donald Trump dan Setiausaha Negara Mike Pompeo menuduh China tidak telus dalam isu ini, dan berulang kali mempromosi teori yang virus itu bocor dari makmal keselamatan yang ketat di China.
Sebilangan besar saintis percaya virus itu berpindah dari haiwan kepada manusia, mungkin dari pasar yang menjual daging haiwan eksotik di bandar Wuhan di China tengah.
“China terbuka untuk bekerjasama dengan komuniti saintifik antarabangsa untuk mencari sumber virus,” kata Wang pada sidang media di luar sidang Parlimen tahunan China.
“Pada masa sama, kami percaya ia harus profesional, adil dan bersifat membina,” tambahnya.
“Keadilan bermaksud prosesnya bebas daripada campur tangan politik, menghormati kedaulatan semua negara, dan menentang segala andaian bersalah.”
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menggesa Beijing mempelawa mereka menyelidik sumber tersebut, dengan China mengusulkan yang “respons global” terhadap Covid-19 hanya dapat dinilai ketika pandemik itu berakhir.
Anggota WHO pada Selasa mengambil pakai resolusi pada perhimpunan maya pertama badan PBB itu untuk membuat semakan pengendalian antarabangsa pandemik. – AFP, 24 Mei, 2020.
Komen