LONJAKAN jangkitan koronavirus pada Sabtu bertambaha dua kali ganda di Afghanistan dalam beberapa hari terakhir, memaksa pihak berkuasa menggesa “pengurungan ketat” semasa lebaran, terutama di ibu kota Kabul.
Pegawai kesihatan berkata negara itu kini mempunyai 9,998 kes Covid-19 yang disahkan, dengan 782 orang positif dalam tempoh 24 jam terakhir - lonjakan harian tertinggi yang dilaporkan setakat ini.
Jumlah kes meningkat dua kali ganda hanya dalam masa 10 hari, menimbulkan kebimbangan wabak lebih meluas di seluruh negara.
Lonjakan kes terjadi ketika Afghanistan bergelut dengan peningkatan kekerasan yang mengalihkan perhatian dan sumber penting untuk memerangi penyakit ini.
“Kami bimbang jika langkah pengurungan tidak dilaksanakan dengan baik, jumlah kes tidak dapat dikendalikan dan di luar kemampuan kami untuk merawat atau mengujinya,” kata wakil menteri kesihatan Waheed Majroh kepada wartawan pada Sabtu.
“Kami mahu langkah pengurungan yang ketat,” katanya.
Kabul yang mempunyai lebih 5 juta pendudukan menjadi pusat penyakit ini, dengan 3,460 kes.
“Terdapat sekatan ketat terhadap pergerakan yang tidak perlu di Kabul,” kata kementerian dalam negeri.
“Semua jalan di Kabul akan ditutup pada hari lebaran.”
Walaupun jumlah kematian rasmi tetap rendah - 216 orang - pakar berkata jumlah kematian dan jangkitan akan meningkat apabila lebih banyak ujian dijalankan.
Virus ini dipercayai tiba di Afghanistan melalui wilayah Herat barat ketika puluhan ribu pendatang kembali dari Iran, negara paling teruk dilanda.
Pihak berkuasa mengenakan langkah pengurungan di seluruh negara sejurus kes awal dilaporkan, tetapi sebahagian besar penduduk mengabaikannya.
Warga Afghanistan yang miskin kebanyakannya bekerja dengan upah harian, dilihat keluar rumah untuk mencari kerja dan bukannya tinggal di dalam rumah.
Pegawai kesihatan berkata cabaran terbesar adalah membuatkan orang memahami bahaya penyakit baharu itu. – AFP, 24 Mei, 2020.
Komen