India sedia kereta api khas untuk 3.6 juta pekerja terkandas di bandar


Ratusan buruh migran India, pelancong dan pelajar berkumpul mendapatkan tiket kereta api ketika kerajaan melonggarkan perintah berkurung yang bertujuan mengekang penyebaran wabak penyakit koronavirus. – Gambar EPA, 24 Mei, 2020.

INDIA akan menyediakan kereta api khas untuk membolehkan sekurang-kurangnya 3.6 juta pekerja migran yang terkandas akibat perintah berkurung disebabkan wabak itu pulang, kata pihak berkuasa pada Sabtu ketika kes koronavirus di sana mencapai kadar harian tertinggi.

Dengan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung penyebaran penyakit di Mumbai dan bandar besar lain, kerajaan berkata 2,600 kereta api khas akan beroperasi dalam 10 hari seterusnya untuk membolehkan pekerja yang hilang kerja ketika perintah pengurungan bermula dua bulan lalu.

Jutaan pekerja migran terkandas di beberapa bandar yang berpenduduk padat dan ramai mengambil keputusan berjalan kaki ratusan kilometer untuk pulang.

Ramai juga yang maut dalam kemalangan dan juga kerana keletihan serta kelaparan ketika bergelut untuk sampai ke kampung halaman.

Vinod Kumar Yadav, ketua Lembaga Keretapi India berkata kira-kira 80% kereta api “Shamrik”, atau buruh baru, akan melalui negeri Bihar dan Uttar Pradesh, sumber terbesar pekerja migran tempatan. Kira-kira 4 juta dibawa dengan kereta api khas.

Perdana Menteri Narendra Modi secara beransur-ansur melonggarkan perintah pengurungan virus terbesar di dunia, yang menyebabkan pengangguran besar di kalangan 1.3 bilion penduduk India.

Tetapi pada masa sama, jumlah kes baharu meningkat setiap hari dengan sekurang-kurangnya 6,600 dilaporkan pada Sabtu. Kementerian kesihatan mengesahkan sekurang-kurangnya 125,101 kes dan 3,720 kematian.

Pakar berkata wabak itu tidak akan memuncak di India hingga Jun atau Julai dan pihak berkuasa semakin bergelut untuk mengekang wabak di Mumbai, Delhi dan bandar lain yang merupakan penyumbang utama kes

Tetapi Menteri Kesihatan Harsh Vardhan meminta semua pihak bertenang berhubung krisis tersebut.

“Tidak perlu panik disebabkan Covid-19 kerana dunia telah belajar hidup dengan ratusan virus,” tulis Vardhan di Twitter.

“Percayalah kepada kerajaan anda karena kami mengikuti strategi terbaik, kerana kita memiliki salah satu angka kematian terendah di dunia.”

Kes di India hampir menyamai Iran, salah satu negara paling teruk dilanda dengan 131,000 kes positif dan 7,300 kematian. – AFP, 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen