Sabah, Sarawak sama status dengan negeri lain dalam federalisme, kata Pandikar


Amin Iskandar

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata, beliau lantang dalam isu ini kerana merasakan ia merupakan tanggungjawabnya terhadap generasi muda.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 November, 2017.

SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mengatakan semua negeri mempunyai status yang sama dalam federalisme, mempertahankan kenyataannya sebelum ini berkenaan dengan status Sabah dan Sarawak.

Pandikar berkata, beliau lantang dalam isu ini kerana merasakan ia merupakan tanggungjawabnya terhadap generasi muda terutamanya di negeri Borneo.

“Jika anda memahami konsep federalisme, ia mengatakan semua negeri mempunyai status sama.

“Bagaimana anda katakan Sabah dan Sarawak mempunyai status sama dengan Malaya?” soal Pandikar pada sidang media selepas pelancaran bukunya bertajuk “Berpisah Tiada” oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Malaya secara automatiknya terbubar.

“Selepas saya kaji semua dokumen daripada ucapan Tunku Abdul Rahman di Singapura pada 22 Mei 1962, dalam dokumen ketika itu, tidak menyatakan Sabah dan Sarawak mempunyai status yang sama dengan Malaya. Tiada.

“Ini antara sebabnya mengapa saya mahu menjelaskan perkara ini,” katanya.

Bekas menteri Kabinet, Shafie Apdal sebelum ini mengingatkan Pandikar mengenai sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani di antara Malaya dan Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Terdapat beberapa individu yang mengatakan Sabah adalah setara dengan mana-mana negeri lain, dakwaan itu adalah bodoh,” kata presiden Warisan itu. 

Pandikar sebelum itu berkata Sabah setara dengan mana-mana negeri lain di Malaysia, dengan menyebut Bab 2 MA63 yang bekas tanah jajahan British Borneo Utara (Sabah), Sarawak bersekutu dengan negeri-negeri Melayu. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen