Selepas buat silap, Manivannan letak jawatan sebagai setiausaha whip PKR


Amin Iskandar

Ahli Parlimen Kapar G Manivannan mengumumkan peletakan jawatan serta merta sebagai setiausaha whip PKR di Dewan Rakyat menerusi satu kenyataan hari ini. – Gambar Youtube, 27 November, 2017.

SELEPAS menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kalah dalam proses undi belah bahagian Bajet 2018, G Manivannan meletakkan jawatan sebagai setiausaha whip PKR di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, kesilapannya kerana tidak mengira Julian Tan (DAP-Stampin) minggu lalu tidak disengajakan.

“Disebabkan prinsip, saya sudah meletakkan jawatan sebagai setiausaha whip dengan serta merta dan sudah pun memberitahu Ketua Whip PKR Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mendedahkan undi belah bahagian Bajet 2018 minggu lalu mungkin menjadi “seri” sekiranya Manivannan turut mengira undi seorang lagi ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataannya petang ini Manivannan berkata, beliau sudah pun memohon maaf kepada ahli Parlimen Stampin.

“Beliau menerima permohonan maaf saya.

“Sepatutnya, Bentara Parlimen membantu. Walaupun mereka kira bersama-sama saya, mereka tidak bangkitkan sekiranya ada kesalahan dan gagal untuk membuat semakan semula,” katanya.

Manivannan turut mencadangkan agar sistem pengiraan yang lebih baik diadakan bagi undi belah bahagian pada masa akan datang. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen