Hanya pemilihan dapat selesai kemelut, kata pemimpin Bersatu Selangor


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin akar umbi Bersatu Selangor berkata mereka berharap presiden Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad dapat berbaik semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

SELAGI pemilihan Bersatu tidak dimuktamadkan, akar umbi akan terus keliru mengenai pertikaian di antara presiden parti Muhyiddin Yassin dan pengerusi, Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin parti.

Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli berkata akar umbi dan ahli lebih mudah membuat keputusan sekiranya pertikaian dapat diselesaikan segera dalam pemilihan.

Bagaimanapun, pemilihan tersebut kini masih tertangguh disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang pandemik Covid-19.

“Selagi tak selesai pemilihan pertikaian demi pertikaian tidak akan selesai. Pemilihan perlu segera diselesaikan, siapa menang kita akan ikut jadi tidak ada istilah berpuak-puak.

“Bila habis pemilihan habislah (pertikaian), bila belum habis pemilihan macam inilah yang berlaku, adalah pendapat masing-masing,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shaid, yang juga ketua Bersatu Kuala Selangor antara tiga ketua bahagian di Selangor yang tidak menyokong Muhyiddin menjadi presiden.

Muhyiddin ditentang ditentang anak Dr Mahathir, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah untuk jawatan presiden.

Dua lagi ketua bahagian, Syed Abdillah Syed Abd Aziz (Klang) dan Mohd Sufian Mat Junus (Bangi), juga tidak bersama dengan Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari yang menyokong Muhyiddin.

Menurut Shaid ia menjadikan Bersatu Selangor dalam keadaan tidak menentu kerana para pemimpin tersebut menyokong Dr Mahathir yang bersama-sama pembangkang Pakatan Harapan (PH).

“Parti kita presiden (bersama) PN, pengerusi (bersama) PH, selagi benda ini tidak selesai susahlah. Pokoknya, selesaikan pemilihan jadi parti boleh selesaikan kemelut dalaman ini.

“Kita bukan bangkang presiden sebagai perdana menteri. Semua 22 ketua bahagian Bersatu sokong (jadi PM), tetapi kita tak setuju Muhyiddin dijadikan pemangku pengerusi,” kata Adun Jeram itu.

Akar umbi Bersatu Selangor berkata kekeliruan tentang pertikaian antara presiden dan pengerusi parti akan berakhir selepas pemilihan parti dimuktamadkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

Beliau mengulas tindakan Bersatu melantik Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi selepas Pendaftar Pertubuhan memutuskan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi parti.

Walau pemilihan ditangguhkan, Dr Mahathir sudah menang tanpa bertanding jawatan sama yang akan berkuatkuasa pada penggal jawatan akan datang.

Mengulas lanjut, Shaid berkata keadaan itu tidak bermakna Bersatu Selangor berpecah sebaliknya mereka hanya keliru dengan situasi tersebut.

Adun Batang Kali Harumaini Omar juga bersetuju dengan kenyataan Shaid dan menegaskan sebarang langkah membabitkan pemecatan seperti dikenakan ke atas Dr Mahathir perlu melalui proses yang adil.

“Saya pun tak faham. Pada saya kita ikut perlembagaan parti. Kena ikut proses. Kalau nak pecat Dr Mahathir, atau Mukhriz, sesiapa pun boleh dipecat, saya pun boleh dipecat tapi kita kena ikut proses.

“Kalau terus pecat rasa tak adil, sebab itu ada tiga ketua bahagian yang tidak bersetuju dengan kenyataan pengerusi negeri.

“Selagi pemilihan tak selesai, jadi ahli dekat bawah ini pening,” tambah Harumaini.

Pada masa sama, beliau berharap Muhyiddin dapat memperbaiki hubungannya dengan Dr Mahathir.

“Kita sayang dua-dua pemimpin ini, Muhyiddin dan Dr Mahathir, serta Mukhriz. Kita harap mereka boleh berbaik,” katanya.

Sayap Pemuda Bersatu Selangor pula bertegas akan terus menyokong Muhyiddin, kata ketua pergerakan itu Adhif Syan Abdullah.

Adun Dengkil itu berkata sebab itulah mereka menyokong kenyataan Rashid berhubung kedudukan Bersatu dalam PH seperti diumumkan ketua Bersatu Selangor itu pada 19 Mei.

Rashid pada masa itu berkata ketetapan berkenaan dibuat sebulat suara  dalam majlis penerangan kepada semua ketua bahagian Bersatu di Selangor pada 13 Mei lalu.

Oleh itu, kemelut berkenaan hanya dapat diselesaikan melalui pemilihan parti, kata Adhif.

“Keadaan Bersatu di Selangor agak rumit selagi pemilihan tidak selesai, namun secara umumnya Bersatu Selangor memang menyokong Muhyiddin selaku presiden.

“Selaku ketua Armada Selangor, saya juga sudah nyatakan pendirian Bersatu negeri menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Adhif.

Katanya, keputusan itu turut dipersetujui majoriti ketua-ketua Bahagian Bersatu Selangor tetapi ditolak Shaid, Syed Abdillah dan Sufian.

“Setakat ini hanya mereka bertiga yang menongkah arus, yang lain mengikut resmi padi. Saya sebagai ketua Armada bersetuju dengan pendirian yang dinyatakan pengerusi negeri,” kata Adhif.

Adhif berkata pendirian Armada Selangor itu sudah dizahirkan kepada Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Mukhriz Mahathir.

“Mereka terima penjelasan saya dan mereka hormatinya,” kata Adhif. – 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen