PRESTASI TV Al Hijrah (TVAH) yang menerima sejumlah RM333.4 juta daripada Jabatan Perdana Menteri direkodkan sebagai tidak memuaskan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, menurut Laporan Ketua Audit 2016 siri ke-2 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan siri kedua itu menunjukkan syarikat itu telah menerima dana dari tahun 2010 hingga 2016 dari Jabatan Perdana Menteri untuk perbelanjaan operasi dan pengurusan.
Walaupun begitu, prestasi kewangan agensi media itu didapati tidak memuaskan selepas diaudit pada Oktober tahun lalu hingga Februari dan Mei tahun ini.
TVAH merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM19.65 juta pada 2014, RM17.03 juta (2015) dan RM10.88 juta pada 2016.
Kerugian selepas cukai pula adalah sebanyak RM21.34 juta pada 2014, RM16.55 juta (2015) dan RM11.73 juta pada 2016.
“Objektif penubuhan TVAH adalah menyediakan sebuah platform televisyen secara percuma untuk mendidik, menghibur, dan menyatukan ummah kurang memuaskan kerana rating yang rendah. Hasil daripada siaran juga jauh dari yang disasar syarikat.
“Prestasi penajaan juga tidak memuaskan kerana bilangan program yang ditaja masih rendah,” kata laporan itu.
TVAH dilancar pada September 2009 dan beroperasi di Pusat Islam Kuala Lumpur sebagai stesyen televisyen Islam percuma yang bukan bersifat keuntungan. Stesyen TV milik kerajaan itu bersiaran selama 18 jam setiap hari dalam bentuk analog, melalui Astro dan juga internet.
Antara perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah TVAH mengambil masa secara purata 107 hari hingga 256 hari untuk mengutip wang pengiklanan, selain amalan pengurusan pentadbiran dan kewangan menurun.
Laporan itu juga menyebut syarikat itu mempunyai proses penilaian program yang lemah, menyebabkan penilaian untuk pengambilalihan program baru tidak konsisten, selain program yang disiarkan tidak menarik dan tidak berkualiti yang membuatkan ia tak berbaloi disiarkan dan merugikan.
“Tidak ada polisi atau prosedur untuk aktiviti berkaitan jualan untuk disiarkan dan pengurusan aset. Malah prosedur program juga tidak lengkap.
“KPI syarikat bagi tahun lepas tidak dibentangkan kepada Lembaga Pengarah. Tidak ada pengarah bebas dalam lembaga syarikat yang berlatar belakang penyiaran,” kata laporan itu.
Laporan itu juga menyebut TVAH gagal membuat audit dalaman sepanjang tahun 2016 dan sehingga April tahun ini kerana audit dalaman telah dibatalkan pada Januari tahun lalu sehingga dibuat semula pada April tahun ini.
TVAH, menurut laporan itu lagi, perlu lebih agresif memperbaiki rating dan keuntungan jualan siaran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan.
Laporan Ketua Audit itu juga menyarankan TVAH memperincikan SOP (standard operating procedures) untuk rancangan baharu, aktiviti syarikat dan mencapai standard KPI; membaiki mutu pengurusan hutang dan kawalan dalaman; dan membaiki amalan pengurusan yang dikawal oleh lembaga pengarah. – 27 November, 2017.
Komen