MUHYIDDIN Yassin akan menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pegawai yang menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet dipengerusikan perdana menteri pada Rabu lalu didapati positif Covid-19.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Muhyiddin menjalani ujian saringan pagi tadi dan disahkan negatif.
Beliau bagaimanapun akan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah mengikut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19.
Mesyuarat berkenaan diadakan di Pejabat Perdana Menteri dan semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari mulai hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa. – 22 Mei, 2020.
Komen